Tinjauan Global Pertama Seumpamanya Dedahkan Jerung Pupus Secara Fungsian daripada Banyak Terumbu

2020-07-23 Paul G. Allen Family Foundation

Global FinPrint, satu insiatif Paul G. Allen Family Foundation, mendapati harapan masih ada sekiranya langkah-langkah pemuliharaan diambil


SEATTLE, 22 Julai 2020 /-- Satu kajian penting baharu yang diterbitkan hari ini dalam Nature oleh Global FinPrint mendedahkan bahawa ikan yu tidak terdapat di banyak terumbu karang dunia, menunjukkan bahawa ikan ini terlalu jarang memenuhi peranan normalnya dalam ekosistem ini dan telah "pupus secara fungsian". Daripada 371 terumbu yang ditinjau di 58 negara, ikan yu tidak kelihatan hampir 20 peratus, menunjukkan penurunan meluas yang tidak didokumentasikan pada skala ini sehingga kini. Tinjauan ini turut mengenal pasti langkah-langkah pemuliharaan yang boleh membawa kepada pemulihan pemangsa ikonik ini.


globalfinprint.jpg

Caribbean reef shark and baited remote underwater video system, captured in the Bahamas. 


Pada dasarnya tiada ikan yu yang dikesan di mana-mana terumbu dari enam negara: Republik Dominika, Hindia Barat Perancis, Kenya, Vietnam, Windward Dutch Antilles dan Qatar. Antara negara-negara ini, hanya sejumlah tiga ekor ikan yu yang diperhatikan selama lebih daripada 800 jam tinjauan.


"Walaupun keputusan oleh Global FinPrint mendedahkan satu kehilangan ikan yu yang tragis daripada banyak terumbu di dunia, ia juga menunjukkan kepada kita tanda-tanda harapan," kata Jody Allen, pengasas bersama dan kursi Paul G. Allen Family Foundation. "Data yang dikumpul daripada tinjauan terhadap ikan yu seluruh dunia yang pertama seumpamanya di terumbu karang boleh membimbing rancangan pemuliharaan jangka panjang yang bermakna untuk melindungi ikan yu terumbu yang masih tinggal."


Penanda aras untuk status ikan yu terumbu di seluruh dunia ini mendedahkan satu kehilangan global yang membimbangkan terhadap spesies ikonik ini yang merupakan sumber makanan penting, tarikan pelancongan dan pemangsa utama di terumbu karang. Kehilangan ikan yu ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penangkapan ikan yu secara berlebihan, dengan penyumbang tunggal terbesar merupakan amalan penangkapan ikan yang memusnahkan, seperti penggunaan rawai dan pukat hanyut.


"Meskipun kajian kami menunjukkan kesan negatif oleh manusia yang besar terhadap populasi ikan yu terumbu, jelas bahawa masalah utama wujud di persimpangan antara kepadatan penduduk manusia yang tinggi, amalan penangkapan ikan yang memusnahkan serta tadbir urus yang lemah," kata Dr. Demian Chapman, ketua bersama Global FinPrint dan Profesor Madya di Jabatan Sains Biologi dan Institut Alam Sekitar di Florida International University. "Kami mendapati bahwa populasi ikan yu yang kukuh dapat wujud bersama-sama manusia apabila manusia mempunyai keinginan, cara dan rancangan unutk mengambil tindakan pemuliharaan."


Kajian ini mendedahkan beberapa buah negara di mana pemuliharaan ikan yu diusahakan dan tindakan tertentu yang mampu memberi hasil. Negara-negara yang menunjukkan prestasi terbaik berbanding purata wilayahnya termasuk Australia, Bahamas, Persekutuan Negeri-negeri Micronesia, Polinesia Perancis, Maldives dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini menonjolkan sifat-sifat utama yang didapati berkaitan dengan populasi ikan yu yang lebih tinggi: umumnya ditadbir urus dengan baik dan sama ada melarang kesemua aktiviti penangkapan ikan yu atau mempunyai pengurusan berasaskan sains yang mantap yang mengehadkan jumlah ikan yu yang boleh ditangkap.


"Negara-negara ini dapat melihat semakin banyak ikan yu di perairan kerana negara-negara ini telah menunjukkan tadbir urus yang baik terhadap isu ini," kata Dr. Aaron MacNeil, ketua pengarang bagi kajian Global FinPrint dan Profesor Madya di Dalhousie University. "Bermula dengan mengehadkan jenis peralatan tertentu dan menetapkan had tangkapan, hinggalah larangan berskala kebangsaan terhadap tangkapan dan perdagangan, kini kami mendapat gambaran yang jelas mengenai apa yang dapat dilakukan untuk mengehadkan tangkapan ikan yu terumbu di seluruh kawasan tropika."


Pasukan FinPrint bergelut dengan hakikat bahawa tindakan pemuliharaan untuk ikan yu sahaja hanya dapat dilakukan sejauh ini. Penyelidik kini sedang mengkaji sama ada pemulihan populasi ikan yu memerlukan pengurusan ekosistem yang lebih luas bagi memastikan terdapatnya ikan terumbu yang mencukupi untuk memberi makan kepada pemangsa ini.


"Kini setelah tinjauan ini selesai, kami turut menyelidik bagaimana kehilangan ikan yu dapat menjejaskan kestabilan ekosistem terumbu," kata Dr. Mike Heithaus, ketua bersama Global FinPrint dan Dekan Kolej Sastera, Sains & Pendidikan di Florida International University. "Bilamana batu karang bertahan untuk terus hidup dalam iklim yang berubah-ubah, kehilangan ikan yu terumbu dapat memberi kesan jangka panjang yang buruk untuk seluruh sistem terumbu."


Dilancarkan pada musim panas tahun 2015, data Global FinPrint dihasilkan daripada stesen video bawah air jarak jauh berumpan (BRUVS) yang mengandungi kamera video yang diletakkan di hadapan sejumlah umpan standard – "Chum Cam." Ekosistem terumbu karang ditinjau dengan BRUVS di empat kawasan geografi utama: Indo-Pasifik, Pasifik, Atlantik Barat dan Lautan Hindi Barat.


Sepanjang tempoh empat tahun, pasukan ini menangkap dan menganalisis lebih daripada 15,000 jam video daripada tinjauan terhadap 371 terumbu di 58 negara, negeri dan wilayah di seluruh dunia. Kerja-kerja ini dijalankan oleh beratus-ratus saintis, penyelidik dan penyokong pemuliharaan yang dikendalikan oleh jaringan rakan usaha sama daripada Florida International University, Australian Institute of Marine Science, Curtin University, Dalhousie University dan James Cook University.


Latar Belakang Global FinPrint

Global FinPrint ialah satu inisiatif Paul G. Allen Family Foundation dan dipimpin oleh Florida International University, disokong oleh gabungan organisasi-organisasi rakan kongsi global yang mencakupi penyelidik, pemberi dana dan kumpulan pemuliharaan. Projek ini mewakili program pengumpulan data dan analisis tunggal yang terbesar dan paling komprehensif bagi populasi dunia ikan yu dan pari yang berkaitan dengan terumbu yang pernah disusun.


Latar Belakang Paul G. Allen Family Foundation

Selama lebih daripada empat dekad, Paul G. Allen Family Foundation telah memberi tumpuan untuk mengubah trajektori beberapa masalah yang paling sukar di dunia. Diasaskan oleh para dermawan Jody Allen dan mendiang Paul G. Allen, pengasas bersama Microsoft, yayasan ini menyokong portfolio rakan kongsi barisan hadapan global yang berusaha untuk memelihara kesihatan lautan, melindungi hidupan liar, memerangi perubahan iklim dan mengukuhkan komuniti. Yayasan ini melabur dalam penerima geran untuk memanfaatkan teknologi, merapatkan jurang data dan sains serta mendorong dasar awam yang positif bagi memajukan pengetahuan dan mendayakan perubahan yang berkekalan.


Latar Belakang Florida International University

Florida International University ialah universiti penyelidikan awam Miami, memberi tumpuan pada kejayaan pelajar. Menurut U.S. News and World Report, FIU mempunyai 42 senarai kedudukan 50 teratas di negara ini dalam kalangan universiti-universiti awam. FIU ialah sebuah universiti penyelidikan (R1) A.S. terkemuka, dengan perbelanjaan tahunan mencecah lebih $200 juta. FIU menduduki tempat ke-15 di negara ini dalam kalangan universiti-universiti awam bagi pengeluaran paten, yang mendorong inovasi dan merupakan salah sebuah institusi yang membantu menjadikan Florida sebagai negeri terbaik untuk pengajian tinggi.


Source: Paul G. Allen Family Foundation


Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.