2024-06-17 berita.rtm.gov.my
HaiPressFoto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR,16 Jun- Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam esok bukan sekadar perayaan sebaliknya hari untuk menghayati nilai-nilai pengorbanan,ketaatan,kebersamaan dan keikhlasan dalam beribadah kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata,turut menyeru agar semua pihak berazam memperkuat hubungan silaturahim dengan keluarga,sahabat dan masyarakat setempat.
"Alhamdulillah,kita sekali lagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambut Aidiladha,hari yang penuh bermakna dan berkat dalam kalendar Islam," katanya.
Mengimbau kisah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS,Ahmad Zahid berkata kita diingatkan tentang betapa besarnya pengorbanan yang perlu dilakukan demi memenuhi perintah Allah SWT.
"Kisah ini menjadi satu manifestasi ketakwaan seisi keluarga yang mempamerkan ketabahan seorang ayah,kepatuhan seorang anak dan redanya seorang isteri serta ibu dalam mentaati perintah Allah SWT," katanya menerusi hantaran itu.
Hantarn itu juga turut menyatakan,melalui ibadah korban,kita bukan sahaja menjalankan perintah agama tetapi juga membantu mereka yang memerlukan dan menunjukkan keprihatinan serta kasih sayang kepada sesama insan.
Dalam pada itu,Ahmad Zahid turut mendoakan agar segala ibadah dan amalan jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci diterima oleh Allah SWT serta selamat kembali ke tanah air dengan membawa haji mabrur.
"Bagi yang belum berkesempatan,semoga Allah SWT mempermudah jalan untuk menunaikan rukun Islam kelima ini pada masa akan datang. Jadikan Aidiladha yang diraikan sebagai masa untuk memperbaharui niat dan keikhlasan dalam setiap amalan.
"Besar pengharapan agar segala pengorbanan dan usaha kita mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT serta memperkuat iman dan takwa kita kepada-Nya," katanya yang turut mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Sementara itu,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran di platform sama berkata,Aidiladha adalah saat terbaik untuk muhasabah diri dan memikirkan pengorbanan besar yang berlaku di sekitar kita.
"Para ulil amri (pemimpin) yang berusaha keras memberikan yang terbaik untuk memajukan daulah (negara),perjuangan umat Islam mempertahankan akidah pada zaman yang penuh rencam sepertimana pada hari ini di samping menyemai kepedulian kita terhadap apa yang sedang berlaku di bumi Gaza.
"Aidiladha mengingatkan kita kepada pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS dengan menuruti perintah Allah SWT. Erti perjuangan serta pengorbanan ini amat besar dengan harapan dan keyakinan bahawa lebih besar ganjarannya di akhirat kelak," kata Fadillah.
Pada masa sama beliau turut meminta umat Islam agar menjadikan Aidiladha kali ini sebagai manifestasi pengorbanan kepada masyarakat antaranya dengan memberi makan dan mengagihkan daging korban kepada golongan yang berhak khususnya fakir miskin.
"Mudah-mudahan ibadah haji,korban dan segala amal ibadah yang kita kerjakan akan diterima oleh Allah SWT. Saya juga yakin dan percaya sekecil-kecil pengorbanan kita pasti dinilai oleh-NYA. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh muslimin dan muslimat," katanya menerusi hantaran di Facebook.