Pasaran getah ditutup lebih rendah sejajar dengan trend serantau

2024-06-27 berita.rtm.gov.my

HaiPress

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR,26 Jun- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah hari ini selepas diheret oleh aliran menurun pasaran hadapan getah serantau menjelang bacaan inflasi utama Amerika Syarikat (AS),kata seorang peniaga.

Penurunan dalam inventori getah asli (NR) dan data ekonomi yang positif di China di tengah-tengah gangguan bekalan akibat hujan lebat di negara pengeluar utama getah asli bagaimanapun,membantu mengekang pasaran daripada kerugian selanjutnya.

“Kerugian turut diimbangi oleh pemulihan dalam harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keuntungan dua hari berturut-turut dalam niaga hadapan getah Jepun terjejas pada Rabu selepas menyusut lebih 1.5 peratus apabila kontrak itu menjejaki harga minyak mentah dan getah sintetik yang lebih rendah.

Katanya,harga minyak meningkat hari ini walaupun terdapat lonjakan mendadak dalam simpanan AS,didorong oleh risiko geopolitik daripada konflik di Timur Tengah termasuk jangkaan pengeluaran inventori akhirnya pada musim permintaan puncak suku ketiga.

Minyak mentah Brent naik 0.22 peratus kepada US$85.21 setong.

“Dilaporkan bahawa jumlah inventori NR yang disimpan di gudang di Qingdao,China telah jatuh sebanyak 28 peratus kepada 468,000 tan berbanding 647,000 tan yang dipegang pada awal tahun ini,” tambahnya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 turun tujuh sen kepada 795.5 sen sekilogram,manakala lateks pukal merosot sebanyak tujuh sen kepada 738 sen sekilogram.

Pada 5 petang,harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 795.5 sen sekilogram,manakala lateks pukal pada 730.5 sen sekilogram.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.