Pelaburan projek utama NETR bernilai RM60.7 bilion

2024-07-12 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,12 Julai- Anggaran terkini sasaran keberhasilan projek dan inisiatif utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dari segi pelaburan adalah bernilai RM60.7 bilion berbanding anggaran awal sebanyak RM25 bilion,menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menjelaskan anggaran tersebut adalah berdasarkan laporan kemajuan Mac 2024 berbanding anggaran semasa pelancaran pada 29 Ogos,2023.

“Anggaran pekerjaan pula adalah berjumlah 84,544 (pembangunan dan pascaprojek) berbanding anggaran awal iaitu 23,000 manakala pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dianggarkan 24,264 berbanding anggaran awal 10,000 gigagram CO2 setara setiap tahun,” menurutnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Menurut kementerian itu,kerajaan komited untuk memastikan pengurusan peralihan tenaga berdasarkan pendekatan keseluruhan negara melibatkan kerajaan Persekutuan,kerajaan negeri,industri,masyarakat awam dan komuniti antarabangsa bagi memastikan kesepaduan perancangan dan pelaksanaan dasar dalam mengimbangi keadaan sukar tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga,kemampuan membayar dan kelestarian alam sekitar.

“Keberkesanan pelaksanaan NETR dijangka dapat meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK),pewujudan peluang pekerjaan,peningkatan sosioekonomi rakyat,jaminan bekalan tenaga dan kelestarian alam sekitar,” tambahnya.

Kementerian itu menjelaskan Belanjawan 2024 telah menyediakan Fasiliti Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara (NETF) dengan dana berjumlah RM2 bilion.

“Kementerian Ekonomi sedang memuktamadkan modaliti pelaksanaan NETF untuk dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula sedang mengemaskini Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk mengukuhkan pelaburan bagi aktiviti ekonomi berdasarkan alam sekitar,sosial dan tadbir urus (ESG).

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai laporan status pelaksanaan NETR dan Pelan Induk Perindustian Baharu (NIMP) 2030 yang dilancarkan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.