2024-08-05 berita.rtm.gov.my
HaiPressPelajar-pelajar SMK Putrajaya Presint 9 (1) mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Pentarama X Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di SMK Putrajaya Presint 9 (1)/ BERNAMA
PUTRAJAYA,5 Ogos- Keamanan dan perpaduan dalam negara dapat diperkukuh sekiranya kesedaran patriotisme dipupuk dari akar umbi.
Program rintis Pentarama X Kelab Malaysiaku menjadi platform terbaik memberi kefahaman dan pendedahan kepada pelajar sekolah berkenaan pentingnya semangat cintakan negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan,Rubaayah Osman berkata,program yang dilaksana sempena Bulan Kebangsaan itu bakal melibatkan 38 buah sekolah di lima negeri iaitu Selangor,Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,Negeri Sembilan,Sabah dan Sarawak.
"Program ini adalah program kerjasama. Rakan stategik kita adalah Kementerian Pendidikan (KPM),kita melalui sekolah kerana di sekolah bermulanya semangatcintakan negara itu dapat kita pupuk.
"Jadi,generasi muda perlu kita pupuk dengan semangat supaya mereka rasakan bahawa negaraini hak mereka,jadi mereka perlu melindungi,mencintai dan seterusnya merasakan perlu cinta negara ini selamanya",katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (1),Putrajaya.
Program yang dilaksana di sekolah terpilih buat julung kalinya itu bermula Julai sehingga September. Antara pengisian menarik program itu adalah sembang santai,nyanyian lagu patriotik dan kuiz kenegaraan.
Program Pentarama X Kelab Malaysiaku turut memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai penggunaan media sosial secara berhemah.
Rubaayah berkata usaha itu dilaksana bagi membendung salah laku buli siber di platform berkenaan.
"Melakukan buli siber satu perkara tidak baik dan mereka perlu diingatkan dalam mereka menggunakan media sosial.
"Perkara-perkara ini mereka perlu ingat bahawa mereka warganegara perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka kongsikan. Jadi sebelum berkongsi apa-apa maklumat,mereka perlu menilai kesahihannya dan ada perlu hormat-menghormati",katanya.