2024-08-10 berita.rtm.gov.my
HaiPressDatuk Arthur Joseph Kurup
TAMPIN,10 Ogos- Larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan di perairan Negeri Sembilan dan Melaka telah ditarik semula berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata,ia berdasarkan hasil pemantauan rapi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan analisis makmal yang konsisten.
Berdasarkan keputusan bacaan biotoksin telah menunjukkan penurunan di bawah 400 per-bilion bagi sampel ke-15.
"Baru-baru ini kita telah melarang pengambilan dan juga pemakanan kerang-kerang di Negeri Sembilan dan Melaka akibat daripada bacaan toksin yang terlalu tinggi pada waktu itu. Tetapi sekarang berita terkiniadalah kita telah membuka larangan penuaian dan penjualan kerang di Negeri Sembilan dan Melaka.
"...sebab bacaan biotoksin menunjukkan penurunan iaitu bawah 400 ppp bagisampel ke-15. Jadi dengan ini aktiviti perikanan di kawasan ini boleh diteruskan seperti biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pesta Mengoca myKP Sungai Jerneh dan Demonstrasi Masakan Rasa-Rasa Akuakultur di Estet Ikan Kampung Sungai Jerneh,Gemencheh.
Program tersebut mengangkat tradisi budaya setempat sekali gus menjadi platform penting bagi DOF mempromosikan sektor akuakultur.
Media sebelum ini melaporkan,Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF Wan Aznan Abdullah berkata,hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.
Sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum,Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.
Sektor akuakultur merupakan penyumbang terbesar pengeluaran perikanan di Negeri Sembilan iaitu 90.78 peratus atau 5,587.4 tan metrik pengeluaran ikan secara keseluruhan dengan nilai RM73.8 juta bagi tahun 2023.