Perkukuh TVET, tingkat kemahiran, kepimpinan wanita di luar bandar

2024-08-29 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,Datuk Rubiah Wang/ Foto facebook Rubiah Wang

PORT DICKSON,29 Ogos- Kunci untuk meningkatkan kemahiran dan kepimpinan wanita,terutamanya di luar bandar adalah dengan memperkukuh Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk wanita.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,Datuk Rubiah Wang berkata,melalui latihan berkualiti,program tersebut bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal,malah mempersiapkan wanita untuk memimpin dalam pelbagai sektor serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Jelasnya,pada tahun 2023,TVET khas untuk wanita iaitu TVET Jelita telah diperkenalkan,yang dikoordinasikan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) dan Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) sebagai penyedia utama latihan.

"Pelaksanaan program latihan TVET khas wanita ini akan melibatkan penyedia-penyedia latihan yang lain di seluruh Malaysia dalam menawarkan program latihan dan pensijilan yang berkaitan.

"Antara bidang-bidang yang ditawarkan ialah teknologi maklumat,kecantikan dan fesyen,pengangkutan logistik,pemasaran,keusahawanan dan perniagaan,kepimpinan dan pengurusan,pensijilan halal,perniagaan luar bandar dan pelancongan,serta hospitaliti dan kulinari",katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Tahun 2024,di Port Dickson.

Seminar tersebut merupakan platform utama untuk membantu wanita luar bandar dalam memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan dalam aspek kepimpinan.

Program ini melibatkan seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada Biro Wanita Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP),beliawanis,penggerak dalam komuniti,pertubuhan bukan kerajaan (NGO),ibu tunggal serta usahawan wanita luar bandar.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.