PM lancar Pelan Induk Kerjasama Awam - Swasta 2030

2024-09-09 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Datuk Seri Anwar berucap ketika melancarkan Pelan Induk Kerjasama Awam - Swasta 2030 di Cyberjaya,hari ini / FOTO RTM

CYBERJAYA,9 September- Pelan Induk Kerjasama Awam - Swasta 2030 (PIKAS 2030); disifatkan sebagai rangka terbaik dalam memperkukuh tatakelola bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri,Datuk Sri Anwar Ibrahim berkata,hala tuju serta penekanan penswastaaan secara menyeluruh perlu diterapkan sebaik mungkin agar tidak timbul sebarang kelompongan.

Beliau juga turut menegaskan akan sentiasa memberikan dokongan kuat kepada badan berkaitan bagi memastikan negara lebih maju,mampan berdasarkan prinsip tatakelola yang ketat.

"Memastikan kepesatan kelulusan yang tidak terikat pada karenah birokrasi yang berlebihan tetapi tidak berganjak daripada prinsip utama tentang tatakelola dan mengelak sebarang kecurangan yang telah menjahamkan sebahagian daripada perubahan negara kita.

"Dalam kerjasama awam swasta,mesti diterapkan prinsip tatakelola yang tetap,tegas dan tidak bertolak ansur,"katanya.

Majlis pelancaran PIKAS 2030 turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani,dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

PIKAS 2030 dibangunkan berdasarkan empat teras utama dengan 17 inisiatif strategik.

Melaluinya,kerajaan turut menjangkakan peningkatan pelaburan swasta kepada RM78 bilion dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM82 bilion.

Ia termasuk peluang pekerjaan sebanyak 900,000 menjelang tahun 2030.

Sementara itu,menurut kenyataan Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri,menerusi PIKAS 2030 kerajaan akan mengutamakan pelaksanaan cadangan projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) secara bidaan bersaing melalui “Request for Proposal” (RFP) bagi mencapai objektif untuk terus mengukuhkan tatakelola.

Proses itu akan mempertingkatkan persaingan,inovasi,kualiti perkhidmatan dan memberi nilai faedah terbaik kepada kerajaan serta rakyat.

Beberapa model PPP baharu seperti Bangun Semula/Jana Semula-Kendali-Pindah (ROT),Bina-Bangun Semula/Jana Semula-Kendali-Pindah (BROT) akan diperkenalkan.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek PPP yang berorientasikan “user-pays” selaras dengan hasrat untuk mengurangkan cabaran fiskal.

Model monetisasi konsesi seperti pembiayaan secara Amanah Perniagaan dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) akan diteroka sebagai alternatif dalam pembiayaan projek PPP,jelasnya.

Kerajaan komited untuk memastikan setiap usaha yang diambil melalui PIKAS 2030 akan membawa perubahan sosial dan ekonomi yang lebih bermakna dan terangkum kepada seluruh rakyat demi membina sebuah negara yang progresif,jelasnya.

Menerusi penyertaan aktif sektor swasta,pelan itu akan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di samping memastikan manfaat pembangunan mampan dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat,tambah kenyataan itu.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.