Agong berangkat ke istiadat mengarak panji-panji

2024-09-14 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Sultan Ibrahim memeriksa perbarisan pada istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong hari ini

PUTRAJAYA,14 September- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah,hari ini berkenan berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada 8.30 pagi disambut dengan alunan lagu Negaraku,disusuli formasi terbang lintas hormat lima pesawat helikopter EC725A,Agusta 109 dan Fennec milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kesemua pesawat berkenaan membawa lima bendera iaitu Jalur Gemilang,ATM,Tentera Darat Malaysia (TDM),Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),disusuli 21 das tembakan kehormatan.

Sultan Ibrahim kemudiannya memeriksa perbarisan terdiri daripada 25 pegawai dan 503 anggota lain-lain pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Usai pemeriksaan barisan,gabungan Pancaragam Pusat ATM masuk membuka medan sekali gus istiadat mengarak lima Panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan.

Lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak ialah Panji-Panji Rejimen Askar Melayu,Rejimen Renjer Diraja,Kor Armor Diraja,Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Turut hadir ke istiadat berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Istiadat berkenaan diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama,tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan.



Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong
Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.