Agong berkenan adakan lawatan negara ke China bermula esok

2024-09-18 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim/ Foto facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

BEIJING,18 September- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengadakan Lawatan Negara ke China bermula esok sehingga 22 Sept ini atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Wisma Putra memaklumkan Lawatan Negara pertama oleh Seri Paduka Baginda ke China sejak menaiki takhta pada 31 Jan 2024 mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang kian berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

Keberangkatan Sultan Ibrahim akan diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke,Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming,Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zain,serta pegawai-pegawai kanan dari Istana Negara dan kementerian serta agensi berkaitan.

"Yang di-Pertuan Agong akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing,diikuti dengan pertemuan bersama Xi serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan diadakan oleh Presiden China sebagai tuan rumah.

“Yang di-Pertuan Agong turut berkenaan menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang,” menurut kenyataan itu,hari ini.

Selain itu,Sultan Ibrahim juga dijadualkan menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong diikuti sesi ramah mesra bersama rakyat Malaysia di negara berkenaan.

Menurut Wisma Putra,Lawatan Negara tersebut memberi peluang yang sangat baik bagi Malaysia dan China untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan antara kedua-dua negara kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan,dinamik dan makmur demi manfaat rakyat masing-masing berdasarkan saling mempercayai serta hormat-menghormati.

“Lawatan ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Selain daripada pertukaran lawatan peringkat tinggi,pelbagai program rasmi turut dijalankan termasuk pengeluaran setem dan duit syiling peringatan serta penerbitan buku mewah pada 19 Jun 2024 di Kuala Lumpur semasa lawatan Li ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-50 turut diadakan pada 31 Mei lepas di Beijing dan 19 Jun di Kuala Lumpur.

Pada 2023,China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut,dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (US$98.90),yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global negara ini.

Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024,mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (US$49.53 bilion) berbanding RM214.87 bilion (US$48.21 bilion) pada pertengahan tahun pertama 2023.

Pada suku tahun pertama 2024,sejumlah 24 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion (US$717.7 juta).- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.