KPDN beri jaminan bekalan barang mencukupi walau terjejas banjir

2024-09-20 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Penduduk sekitar Kuala Terengganu membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Rahmah Madani

KUALA TERENGGANU,20 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas di kawasan yang terjejas akibat banjir adalah mencukupi.

Menteri KPDN,Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan bekalan.

Menurut beliau,berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP),peruncit dan pemborong terpilih di setiap daerah telah dilantik lebih awal untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan penting walaupun ketika musim tengkujuh.

"Apabila banjir berlaku,kita segera mengaktifkan pendekatan yang telah disediakan bagi memastikan bekalan barangan keperluan tidak terputus.

"Semua cawangan KPDN di negeri dan daerah telah diarahkan untuk sentiasa bersedia dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Banjir di setiap peringkat," katanya.

Datuk Armizan berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu di Perkarangan Surau Al Iman,Kuala Terengganu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN,Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Terengganu,Saharuddin Mohd Kia.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.