Tugas pertahan keamanan negara perlu dipikul bersama - Sultan Perak

2024-09-21 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormat Upacara Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke-42 di UPSI / FOTO RTM

TANJUNG MALIM,21 September- Penubuhan angkatan tentera bagi sesebuah negara adalah satu keperluan dan kemestian yang tidak boleh ditiadakan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah angkatan tentera bukan sekadar keperluan yang tercetus daripada logika pemikiran insan,malahan satu tuntutan fardu kifayah yang wajib dipenuhi.

Titah baginda program pegawai kadet,pasukan latihan pegawai simpanan yang diperkenalkan melalui jalinan kerjasama angkatan tentera dengan universiti awam juga usaha mempersiapkan sumber manusia terlatih dalam bidang ketenteraan.

"Memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum adalah penting diusahakan tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh dipikul secara bersama,bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang-orang Melayu sahaja," titah baginda.

Baginda bertitah ketika Upacara Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim.

Seramai 1,435 pegawai kadet ditauliahkan sebagai Leftenan Muda,Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat,Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Titah baginda,semasa menyempurnakan amanah dan memenuhi tanggungjawab,prinsip kepercayaan kepada Tuhan perlu sentiasa dijadikan pegangan agar perjuangan tidak tersasar haluan.

Semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara hendaklah dijunjung pada setiap masa berteraskan perlembagaan - berpaksikan undang-undang.

Selain itu,disiplin yang menjadi budaya hendaklah dipamerkan melalui tindak tanduk bersopan dan bersusila.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.