Parlimen Malaysia terima ucapan tahniah dilantik Pengerusi AIPA 2025

2024-10-21 HaiPress

FOTO PARLIMEN

VIENTIANE,21 Oktober - Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-45.

Beliau pagi ini menerima kunjungan hormat daripada Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei TYT Abdul Rahman Taib.

"Dalam pertemuan ini,saya amat menghargai sokongan TYT Abdul Rahman yang telah menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi AIPA 2025," menurut beliau dalam hantaran di Facebook rasminya.

Delegasi Brunei turut menzahirkan rasa syukur atas kestabilan politik yang dinikmati Malaysia ketika ini,dan dengan itu telah memberi dampak positif kepada Brunei sebagai negara jiran.

"Kami turut berbincang tentang inisiatif bersama dalam pembangunan generasi muda,termasuk program Parlimen Belia dan Program Pertukaran Pelajar antara Malaysia dan Brunei. Kedua-dua program ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan generasi muda antara kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu,TYT Abdul Rahman menzahirkan kesudian untuk mengadakan pertukaran amalan terbaik bersama Malaysia dalam menangani isu kemiskinan,serta kaedah penambahbaikan Parlimen,khususnya dalam aspek peraturan mesyuarat dan pembentangan belanjawan.

Tan Sri Johari turut mengambil kesempatan menekankan kepentingan mekanisme semak dan imbang dalam sistem parlimen,khususnya melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (JKPK),Jawatankuasa Pilihan Khas (PAC),dan peranan laporan Ketua Audit Negara yang dibahaskan.

"Perbincangan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh amalan demokrasi dan tatakelola yang baik," tambahnya.

Terdahulu,Tan Sri Johari turut menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya Speaker Dewan Perwakilan dan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Thailand,TYT Wan Muhamad Noor Matha.

Dalam pertemuan itu,delegasi Parlimen Malaysia turut menerima ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Pengerusi AIPA 2025.

"Saya amat menghargai keyakinan beliau terhadap keupayaan Malaysia untuk menjalankan tugas ini dengan cemerlang,serta sokongan padu yang ditunjukkan oleh Parlimen Thailand," kata Tan Sri Johari.

TYT Wan Muhamad turut menyampaikan ucapan terima kasih atas layanan baik yang diterimanya ketika lawatan beliau ke Parlimen Malaysia pada bulan Julai yang lalu,yang memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara.

Menurut Tan Sri Johari,ketika pertemuan itu,isu pelancongan turut disentuh,di mana TYT Wan Muhamad Noor Matha mengharapkan agar hubungan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand dipermudah.

"Ini akan memberi manfaat kepada pelancong Malaysia yang kian meningkat jumlahnya ke Thailand,sekali gus merangsang ekonomi kedua-dua negara," katanya.

Dalam pertemuan itu,isu pekerja Thailand di Malaysia turut dibincangkan.

"Beliau juga menyentuh tentang isu pekerja Thailand yang bekerja di Malaysia,terutamanya dalam sektor restoran dan kebersihan. Parlimen Thailand berharap kita dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor-sektor tersebut bagi warga Thailand yang sedang mencari pekerjaan di Malaysia," katanya.

Tan Sri Johari turut mengetengahkan beberapa isu penting melibatkan kedua-dua negara. Ia termasuk isu keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui.

"Kami turut membincangkan projek 'land bridge' di Segenting Kra yang berpotensi untuk meningkatkan hubungan ekonomi,logistik,dan perdagangan antara Malaysia dan Thailand,yang pasti akan memberi impak besar kepada rantau ASEAN," katanya.

"Sebagai tanda hubungan diplomatik yang semakin erat,TYT Wan Muhamad Noor Matha telah menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Thailand,yang dijadualkan pada bulan Januari tahun hadapan. Saya amat menghargai jemputan ini dan berharap lawatan tersebut akan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara di masa hadapan," katanya.

Semalam,Tan Sri Johari turut menerima kunjungan hormat daripada Ahli Parlimen Telemark,Norway,PYT Åslaug Sem-Jacobsen.

Dalam perjumpaan tersebut,Norway meletakkan kepentingan yang signifikan dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama dengan Parlimen Malaysia serta rantau ASEAN secara keseluruhannya.

ASEAN merupakan rantau strategik bagi Norway dalam bidang perdagangan,perubahan iklim,dan peralihan tenaga.

Dalam pada itu,Malaysia memainkan peranan penting dalam menjadikan ASEAN sebagai rakan perdagangan utama dan pusat kepada usaha-usaha global dalam menangani isu perubahan iklim dan peralihan kepada tenaga lestari.

PYT Sem-Jacobsen turut menggalakkan pelaburan lebih besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan keterjaminan makanan di Malaysia. Ini kerana Malaysia bukan sahaja menjadi rakan penting dalam sektor-sektor ini,malah menjadi sebagai gerbang strategik untuk Norway memperluaskan akses ke rantau ASEAN.

"Norway yakin bahawa Malaysia berpotensi menjadi hab utama bagi perdagangan dan pelaburan Norway di rantau ini,khususnya dalam sektor yang memerlukan inovasi dan pembangunan lestari," menurut Tan Sri Johari.

Tan Sri Johari mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke Vientiane menyertai AIPA ke-45 sejak Jumaat lalu.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.