PM hargai sokongan kerajaan negeri noktahkan miskin tegar

2024-10-22 HaiPress

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen / Foto Bernama

KUALA LUMPUR,22 Oktober – Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama semua kerajaan negeri dalam usaha menoktahkan miskin tegar di negara ini.

Beliau berkata setakat semalam,sebanyak 65.6 peratus daripada sasaran telah diselesaikan,dan baki yang tinggal akan ditangani mengikut data yang telah didaftarkan.

"Saya memohon agar semua pihak,termasuk Menteri Besar Kelantan,Datuk MohdNassuruddin Daud,Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),dan pegawai jajahan,terus mendaftar jumlah-jumlah baru agar kita dapat meneruskan usaha ini. Saya bersyukur kerana kita memberi tumpuan yang menyeluruh. Jentera-jentera kerajaan persekutuan dan negeri hampir kesemuanya bersetuju untuk mengambil kira jumlah ini dan menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum memulakan pendaftaran baru." katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat,di sini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rantau Panjang,Datuk Siti Zaliah Mohd Yusoff,mengenai usaha kerajaan menoktahkan miskin tegar.

Tambah Anwar,kerajaan sentiasa komited untuk menoktahkan miskin tegar tanpa mengira kaum dan menegaskan bahawa semua warganegara yang susah wajib dibantu tanpa diskriminasi.

Tegasnya,pendirian kerajaan perpaduan adalah jelas dalam memastikan semua masyarakat di negara ini mendapat hak masing-masing berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

"Ini tidak benar jika dikatakan hanya untuk orang Melayu. Tentunya jumlah ini besar dan majoritinya kepada masyarakat Melayu. Jika ada kenyataan sebaliknya,boleh maklum kepada saya kerana ini bertentangan dengan dasar kita,yang mana siapa saja termasuk golongan miskin tegar,asalkan warganegara,wajib dibantu tanpa diskriminasi," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.