Beli tiket penerbangan seawal mungkin elak harga tiket mahal

2024-10-28 HaiPress

Timbalan Menteri Pengangkutan,Datuk Hasbi Habibollah berkata MOT melalui MAVCOM akan memantau harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik

KUALA LUMPUR,28 Oktober - Penumpang penerbangan domestik digalakkan untuk membeli tiket penerbangan seawal mungkin bagi mendapatkan harga tiket yang murah khususnya semasa musim perayaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan,Datuk Hasbi Habibollah berkata hal ini kerana kos tiket penerbangan,harga tambang penerbangan ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.

Menurut Hasbi,bagi menangani masalah harga tiket penerbangan yang tinggi semasa musim puncak,Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik.

"Hasil perbincangan tersebut,syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan.

"Kebiasaannya,syarikat penerbangan akan mula menjual tiket seawal sembilan bulan sebelum tarikh penerbangan.

"Apabila harga tiket disemak satu atau dua minggu sebelum tempoh perjalanan,harga tiket kebiasaannya sudah tinggi. Ini adalah kerana harga tiket di bakul yang murah sudah habis dijual dan harga tiket di bakul yang tinggi sahaja yang tinggal.

"Secara purata harga tiket sehala di bakul yang tertinggi adalah sehingga 10 peratus daripada keseluruhan tiket yang dijual semasa musim puncak.

"Secara purata harga tiket sehala dibakul yang lebih rendah iaitu RM599 ke bawah adalah sehingga 60 peratus daripada keseluruhan tiket yang dijual semasa musim puncak," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan beberapa Ahli Parlimen berkaitan pendekatan kerajaan dalam menangani isu harga tambang penerbangan yang tinggi terutamanya ketika musim perayaan.

Tambahnya,MOT melalui MAVCOM akan memantau harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah,Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Justeru,beliau berkata jemaah menteri pada 13 Disember tahun lalu telah bersetuju untuk melaksanakan harga maksimum RM599 bagi tiket penerbangan sehala ekonomi dari Semenanjung ke Sabah,Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Tempoh pelaksanaan inisiatif ini adalah pada 3 hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan Tahun Baru Cina,Hari Raya Aidilfitiri,Pesta Kaamatan,Hari Gawai dan Hari Krismas 2024," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.