Niaga hadapan MSM capai paras tertinggi dalam 28 bulan

2024-10-31 HaiPress

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR,30 Oktober- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu mencapai paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan,kata Penganalisis Kanan Fastmarket Palm Oil Analytics,Sathia Varqa.

Beliau berkata lonjakan itu didorong oleh prestasi kukuh dalam minyak sayuran tersebut di Bursa Dalian selain hasil eksport yang menjanjikan pada bulan Oktober.

“Data indikatif menunjukkan eksport pada bulan Oktober meningkat sebanyak 13 peratus. Ringgit yang lebih lemah turut menyokong peningkatan itu,” kata Sathia kepada Bernama.

Sementara itu,peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM ditutup lebih tinggi disebabkan permintaan eksport yang lebih kukuh dan harga minyak soya yang meningkat.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,600 satu tan dan paras rintangan pada RM4,780 satu tan," katanya.

Pada penutup dagangan,kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM63 kepada RM4,800 setan,Disember 2024 bertambah RM56 kepada RM4,738 setan dan Januari 2025 berkembang RM59 kepada RM4,696 setan.

Manakala Februari 2025 meningkat RM61 kepada RM4,634 setan,Mac 2025 naik RM67 kepada RM4,560 setan dan April 2025 bertambah RM66 kepada RM4,476 setan.

Jumlah dagangan susut kepada 82,918 lot daripada 89,447 pada Selasa manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 246,955 kontrak daripada 250,424 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk November Selatan naik RM40 kepada RM4,800 setan.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 31 Okt,2024 sempena cuti umum Deepavali dan akan beroperasi semula pada 1 Nov,2024.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.