2024-11-17 HaiPress
Foto Facebook Tengku Zafrul
LIMA,17 November- Kerjasama erat antara ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kekal menjadi agenda utama untuk memastikan pembangunan mampan dan integrasi ekonomi yang lebih kukuh di rantau ini.
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebagai wakil Malaysia,beliau yakin komitmen tersebut akan terus memperkukuhkan kedudukan negara dalam membentuk masa depan ekonomi Asia-Pasifik yang lebih inklusif,mampan dan berdaya saing.
Dalam sesi dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) bersama pemimpin ekonomi APEC,beliau menekankan visi Malaysia untuk memacu pertumbuhan mampan dan transformasi ekonomi serantau.
"Sebagai persediaan untuk mengetuai ASEAN pada 2025,Malaysia komited untuk mengukuhkan ekonomi hijau,mempercepat transformasi digital dan memastikan keterangkuman ekonomi,dengan sokongan padu daripada rakan serantau di bawah kerangka ASEAN-APEC",katanya menerusi hantaran di facebook.
Tengku Zafrul turut berkongsi kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI),khususnya dalam sektor data dan semikonduktor.
Katanya,kedua-dua sektor ini kini menjadi asas penting dalam memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Beliau berkata Malaysia juga percaya bahawa kerjasama erat antara sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam mencapai manfaat bersama untuk semua negara anggota.
"Melalui kerjasama ini,kita dapat memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan integrasi serantau yang lebih kukuh",ujarnya.