Warga Thai antara lima ditahan edar dadah di Jengka

2024-11-20 HaiPress

FOTO RTM

MARAN,20 November- Polis Pahang menahan lima lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas dua pucuk pistol dalam serbuan di sekitar Bandar Pusat Jengka,Maran.

Ketua Polis Pahang,Datuk Seri Yahaya Othman berkata,serbuan dilakukan pada 14 November lalu hasil risikan dan maklumat awam.

Beliau berkata,kesemua suspek berusia 24 hingga 35 tahun,empat daripadanya adalah warga tempatan,manakala seorang lagi warga Thailand.

"Ikut rekod suspek memang ada rekod jenayah sudah ditangkap beberapa kali dan paling banyak 14 kali melibatkan kesalahan dadah dan jenayah. Suspek utama berumur 24 tahun,warga Thailand," katanya.

Menurut beliau,ketua kumpulan itu berusia 24 tahun dengan 14 rekod jenayah serta penyalahgunaan dadah dan kesemua mereka yang ditahan positif dadah jenis amphetamine.

Hasil serbuan dan tangkapan,polis berjaya merampas lima peket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin,enam paket lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu dan dua paket lutsinar mengandungi 21 biji pil dipercayai jenis Yaba.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Polis Kuala Krau,dekat Temerloh,Pahang.

Polis turut merampas dua pucuk pistol yang mana satu daripadanya adalah pistol angin dan satu lagi pistol tulen jenis semi auto.

Katanya,pistol angin itu dirampas bersama satu kelopak peluru mengandungi 19 butir bebola besi dan 97 butir bebola besi dipercayai untuk kegunaan pistol berkenaan.

Kumpulan tersebut dipercayai mula aktif sejak awal bulan Ogos lalu dan menjadikan kawasan sekitar Bandar Pusat Jengka dan tanah rancangan Felda di Maran sebagai lokasi menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya,semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Dalam kes berasingan,beliau memaklumkan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun kerana memiliki senjata api jenis 'pump gun' dalam Op Bersepadu Khazanah berhampiran Hutan Simpan Kemasul,dekat Lanchang,pada 9 November lalu.

Dia berkata,suspek mengaku tidak memiliki lesen bagi pemilikan senjata api jenis Remington 870 Express itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.