PPZ-MAIWP lancar pembayaran zakat melalui aset digital, kripto diterima

2024-12-18 IDOPRESS

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP,Datuk Abdul Hakim Amir Osman/Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR,18 Disember- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merupakan institusi zakat pertama di dunia yang menyediakan perkhidmatan bayaran zakat menggunakan aset digital,sekali gus memperkenal inovasi terkini dalam urusan menunaikan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP,Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata inisiatif itu tidak hanya selaras dengan perkembangan teknologi tetapi juga bertujuan untuk memastikan tiada golongan yang terlepas daripada menunaikan kewajipan zakat dalam sebarang bentuk aset yang dimiliki.

"Dengan adanya platform seperti ini,bukan sahaja ia dapat memudahkan pembayar-pembayar zakat untuk melaksanakan kewajiban mereka. Namun,saya menjangkakan lonjakan baharu daripada segi kutipan zakat terhadap sumber baru zakat iaitu mata wang ataupun aset digital ini.

Di samping itu,kita berharap dengan adanya platform ini juga dapat menyaring kripto yang patuh syariah. Apabila menyebut patuh syariah ini antara salah satu kriterianya,mestilah melaksanakan tanggungjawab berzakat.

Ini kerana setiap harta kita ini ada hak 2.5 peratus yang perlu kita sampaikan kepada golongan asnaf," kata Datuk Abdul Hakim kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui setelah merasmikan Majlis Pelancaran Saluran Bayaran Zakat Aset Digital di Bangunan PPZ-MAIWP ibu negara.

Jelasnya,kutipan zakat aset digital sejak Januari tahun ini telah meningkat sebanyak 73 peratus dengan kutipan berjumlah hampir RM45,000 berbanding tahun lalu iaitu RM26,000.

Ini menunjukkan bahawa kesedaran mengenai zakat aset digital telahpun wujud dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya,PPZ MAIWP telah melantik Sharlife Sdn Bhd sebagai ejen kutipan zakat pertama dengan menggunakan mata wang kripto,sebagai permulaan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.