200 pensyarah UUM jalani latihan kemahiran AI

2025-02-28 IDOPRESS

Antara pensyarah UUM dari 16 pusat pengajian UUM yang menjalani latihan meningkatkan kemahiran berkaitan AI / Foto UUM

SINTOK,28 Februari – Perkembangan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) berlaku dengan sangat pantas pada masa sekarang sehingga sebahagian besar industri sedang beralih kepada teknologi AI dan tidak terkecuali bidang pendidikan tinggi.

Penggunaan AI dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah universiti tidak dapat dinafikan sedang meluas bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia kerana AI adalah alat yang sangat berpotensi dalam membantu proses pembelajaran dan pengajaran.

Impak besar dibawa oleh AI dalam bidang pendidikan ini menuntut warga pendidik institusi pendidikan tinggi untuk memahami dan menguasai kemahiran praktikal berkaitan AI supaya mereka sama-sama dapat menyumbang ke arah melahirkan graduan yang tersedia dengan teknologi AI untuk keperluan industri.

Bagi tujuan itu,Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama sebuah syarikat teknologi pembangun AI dan perisian pejabat terkemuka dunia,telah menganjurkan program latihan “Microsoft AI TEACH” kepada 200 pensyarah dari 16 pusat pengajian di UUM.

Program dua hari itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),Prof. Dr. Russayani Ismail dengan matlamat membangun dan meningkatkan kemahiran berkaitan AI dalam kalangan pensyarah,memupuk inovasi melalui aktiviti hackathon dan mewujudkan platform ke arah melahirkan graduan celik AI.

Jelas beliau,program itu selaras dengan Dasar Utama UUM 2025 berkaitan Pengurusan Pendidikan dan Penyelidikan yang bertujuan menyediakan latihan AI berimpak tinggi kepada kakitangan akademik universiti selain mewujudkan ekosistem pembelajaran dan inovasi berterusan.

Latihan dikendalikan oleh enam jurulatih profesional dari syarikat berkenaan yang membimbing modul-modul berkaitan AI kepada peserta termasuk bagaimana menggunakan AI di dalam bidang pendidikan tanpa menjejaskan integriti akademik.

Selain itu,peserta diberi penekanan tentang pentingnya menggunakan AI dengan penuh rasa tanggungjawab dan berpegang kepada enam prinsip asas rangka kerja AI iaitu adil dan saksama,kebolehpercayaan dan keselamatan,privasi dan sekuriti,keterangkuman,ketelusan dan kebertanggungjawapan.

Menurut Dekan SMMTC,Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad,penganjuran bengkel ini adalah langkah berterusan ke arah usaha mengintegrasikan AI dalam kurikulum program-program yang ditawarkan kepada mahasiswa.

“Semua pensyarah kami telah mengikuti latihan berkaitan AI yang menunjukkan komitmen SMMTC untuk meningkatkan pengalaman pendidikan tinggi dan bertujuan memperkasa pelajar kami untuk menjadi pemimpin industri dalam bidang yang sedang berkembang pesat ini. Kami berharap untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan pembangun teknologi AI pada masa hadapan bagi memastikan pensyarah sentiasa mempunyai pengetahuan dan kemahiran terkini berkaitan teknologi AI. Usaha ini penting kerana UUM melalui SMMTC akan melaksanakan program-program kesedaran dan kemahiran AI kepada komuniti melalui Projek Transformasi Changloon yang dilancarkan baru-baru ini,” jelas Dr. Mohd Khairie.

Sementara itu,Pengarah Kemahiran Nasional AI Microsoft,Supahrat Juramongkol berkata,program latihan AI di UUM ini merupakan penyertaan paling ramai secara bersemuka yang pernah dikendalikan mereka sepanjang melaksanakan bengkel latihan berkaitan AI di Malaysia.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.