2025-04-18
HaiPress
FOTO HIASAN
KUALA LUMPUR,15 April- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah,kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran kekal suram berikutan kebimbangan mengenai ketidaktentuan ekonomi global disebabkan perang perdagangan yang meningkat dan ketegangan geopolitik.
“Bagaimanapun,penurunan seterusnya dikekang oleh optimisme mengenai potensi pelepasan tarif daripada Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.
Pada Selasa,niaga hadapan getah Jepun merosot,dipengaruhi oleh yen yang lebih kukuh dan prospek bekalan yang lebih baik.
Bagaimanapun,katanya potensi pelepasan daripada tarif berkaitan sektor automotif AS membantu mengurangkan penurunan tersebut.
“Dilaporkan kawasan pengeluaran getah di Yunnan,China,telah memasuki musim menoreh getah manakala kawasan pengeluaran di luar negara akan menoreh pokok getah muda tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata pemain pasaran kekal berhati-hati berikutan pentadbiran Donald Trump terus mempertimbangkan pelaksanaan tarif ke atas import semikonduktor dan farmaseutikal.
Katanya Trump sedang mempertimbangkan pindaan terhadap tarif sebanyak 25 peratus yang dikenakan ke atas import kenderaan dan alat ganti kenderaan dari Mexico,Kanada dan negara lain.
Setakat 3 petang,Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 merosot 9.5 sen kepada 757.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan empat sen kepada 654.5 sen sekilogram.- BERNAMA