2025-04-22
HaiPress
Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir / Foto Bernama
PUTRAJAYA,21 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mengambil tindakan menyeluruh termasuk siasatan dan penilaian semula terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan kampus susulan kemalangan maut melibatkan seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM),Sabtu lalu.
Menterinya,Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata langkah tersebut diambil bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang serta meningkatkan tahap keselamatan pelajar di semua universiti.
“Saya memandang serius setiap kejadian kemalangan yang melibatkan pelajar. Dalam hal ini,bukan sahaja membabitkan kawasan UUM,malah merangkumi semua institusi pengajian tinggi. Saya telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan termasuk membabitkan prosedur syarikat terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri warga KPT di sini hari ini.
Mengulas lanjut,Dr. Zambry memaklumkan UUM telah menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi meneliti secara menyeluruh semua aspek berhubung insiden terbabit.
Katanya,penubuhan jawatankuasa tersebut turut bertujuan memastikan SOP keselamatan yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat dalam pengurusan pengangkutan dalam kampus.
BERITA BERKAITAN:
Insiden pelajar maut: UUM tubuh dua jawatankuasa siasatan