UniSIRAJ perkenal program baharu AI seiring keperluan industri

2025-04-22 HaiPress

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniSIRAJ merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UniSIRAJ di Dataran Pelajar Kampus UniSIRAJ Kuala Perlis

KUALA PERLIS,22 April - Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bakal memperkenalkan program pengajian baharu berkaitan bidang kecerdasan buatan (Al) selaras dengan dasar kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pelaksanaan program pengajian baharu itu selari dengan keperluan semasa dunia pekerjaan,sekali gus melahirkan siswazah yang seiring visi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniSIRAJ.

Menurut Rektor UniSIRAJ Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle,ketika ini UniSIRAJ mempunyai 28 program pengajian; antaranya Doktor Falsafah Bahasa Al-Quran Dan Al-Sunnah,Sarjana Pengajian Islam,Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan selain Asasi Pengajian Islam serta Diploma Syariah.

UniSIRAJ turut mencatatkan peningkatan kemasukan kepada lebih 600 mahasiswa bagi sesi pengambilan tahun ini berbanding sasaran 550 orang tahun lepas.

"Walaupun berdepan kekangan fasiliti,UniSIRAJ akan mengawal kemasukan dan terus berusaha memperbaiki kemudahan untuk keselesaan penuntut dan menyasarkan memperoleh sekurang-kurangnya penarafan tiga bintang bagi penilaian Malaysia Research Assessment (MYRA) dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan kecemerlangan universiti berkenaan," kata Dr Rozaimi.

Beliau menyatakannya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UniSIRAJ di Dataran Pelajar Kampus UniSIRAJ Kuala Perlis yang dirasmikan Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniSIRAJ.

Lebih 1,000 warga UniSIRAJ memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dalam suasana penuh kegembiraan dan kemeriahan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.