2025-04-23
HaiPress
Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil (tengah) menyaksikan penyerahan memorandum kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) pada Majlis Muhibah Sambutan Hari Raya,di Petaling Jaya / Foto Bernama
PETALING JAYA,22 April – Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA),yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2023,kini secara rasmi diiktiraf sebagai entiti induk yang mewakili lebih 16 persatuan dalam industri seni kreatif negara.
Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil berkata pengiktirafan itu adalah satu langkah penting dalam usaha memperjuangkan kebajikan penggiat seni serta pembangunan menyeluruh industri perfileman dan kandungan tempatan.
“GAFEMA telah menghimpunkan 16 persatuan melibatkan penerbit,pengarah,kru teknikal dan lain-lain yang berperanan memperjuangkan hak kebajikan serta pembangunan industri,” katanya pada Majlis Muhibbah Hari Raya Aidilfitri FINAS di sini,hari ini.
Dalam majlis berkenaan,Fahmi turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada GAFEMA kepada Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS),sebagai simbolik kepada komitmen memperkukuh dasar dan hala tuju industri seni kreatif negara.
Dalam perkembangan berkaitan,Fahmi memaklumkan FINAS diminta menjalankan sesi libat urus dengan pemain industri kreatif sebelum pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional 1981 (Akta 244) dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat,Julai depan.
“Realitinya hari ini,masyarakat tidak hanya menonton di pawagam atau televisyen. Pola tontonan telah berubah,terutama generasi Z dan Alpha. Maka kita perlu bersedia dengan pelbagai langkah berkaitan teknologi maklumat (IT),kecerdasan buatan (AI),serta platform Over-the-Top (OTT) supaya kita tidak ketinggalan dan dapat memanfaatkan perkembangan ini,” katanya.
Pindaan akta tersebut dijangka merangkumi tiga skop utama iaitu peluasan skop kawal selia FINAS,pengukuhan tadbir urus,serta pemantapan fungsi agensi itu.
Dalam pada itu,Fahmi turut menyarankan agar FINAS memastikan pelakon veteran turut dilibatkan dalam projek dan dana akan datang,selain mempertimbangkan kebajikan penggiat seni untuk jangka masa panjang.