2025-04-23
HaiPress
FOTO UKAS
KUCHING,22 April- Sarawak kini menjadi tumpuan negara-negara dalam blok Persatuan Dagangan Bebas Eropah (EFTA) sebagai rakan strategik berpotensi tinggi,khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan hijau.
Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Antara Parlimen EFTA,Grimur Grimsson,yang mengetuai delegasi 19 Ahli Parlimen dari empat negara anggota EFTA; Iceland,Norway,Switzerland dan Liechtenstein dalam rangka lawatan rasmi mereka ke Malaysia,termasuk ke Sarawak.
Menurut beliau,lawatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha EFTA untuk meneroka potensi ekonomi dan pelaburan di Malaysia,susulan pemeteraian Perjanjian Rakan Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) yang dimeterai pada 11 April 2025.
“Kami amat kagum dengan inisiatif yang sedang dijalankan oleh Sarawak dalam bidang teknologi hijau dan infrastruktur penangkapan serta penyimpanan karbon. Ini bukan sahaja selari dengan matlamat pembangunan mampan,tetapi juga membuka ruang kerjasama lebih erat antara EFTA dan Malaysia pada masa akan datang,” ujar Grimsson.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat delegasi EFTA ke atas Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Tun Openg,di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia,Petra Jaya.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Rombongan Ahli Parlimen Norway,Trine Lise Sundnes,Ketua Rombongan Ahli Parlimen Switzerland,Thomas Aeschi,dan Ketua Rombongan Ahli Parlimen Liechtenstein,Sebastian Gassner.
Lawatan berkenaan dilihat sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh hubungan dagang dan pelaburan dua hala antara Sarawak dan negara-negara EFTA,terutamanya dalam sektor-sektor masa hadapan seperti tenaga bersih dan transformasi hijau.