Perlindungan wanita dalam politik: Malaysia perlu undang-undang cegah fitnah digital

2025-04-23 HaiPress

Tan Sri Johari Abdul berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita WAIPA 2025,yang berlangsung di Damai Lagoon,Kuching

KUCHING,22 April- Malaysia disaran menggubal undang-undang khusus bagi menangani penyebaran fitnah digital dan serangan siber terhadap wanita,terutamanya dalam bidang politik yang semakin rentan dengan penyalahgunaan teknologi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul,berkata cadangan tersebut timbul susulan peningkatan kes gangguan digital yang mensasarkan wanita melalui manipulasi imej dan kenyataan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Saya sedang teliti keperluan menggubal undang-undang khas ini di Malaysia. Jika perlu,kita harus perkenalkan ia segera,demi menyekat serangan bertubi-tubi berbentuk fitnah digital yang langsung tidak membantu sesiapa,” katanya.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kesan serangan tersebut yang bukan hanya mencalar reputasi mangsa,bahkan menghakis keyakinan serta penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan negara.

Tambahnya,negara jiran seperti Singapura telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan undang-undang melarang penyebaran maklumat palsu menggunakan teknologi AI.

“Kita juga perlu mengambil pendekatan yang sama agar teknologi baharu tidak dijadikan alat untuk membuli,memperlekeh atau memfitnah wanita yang ingin berkhidmat kepada negara,” ujarnya.

Undang-undang sedemikian,menurut beliau,bertujuan membendung penyalahgunaan teknologi digital yang mampu mencetuskan ketegangan sosial,menjatuhkan kredibiliti individu dan menjejaskan kesejahteraan mental rakyat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita WAIPA 2025,Kuching hari ini.

Mesyuarat tersebut dianjurkan oleh Parlimen Malaysia dengan kerjasama DUN Sarawak,dan menghimpunkan pemimpin wanita dari seluruh ASEAN.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.