Malaysia terajui Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025

2025-04-23 IDOPRESS

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI),Chang Lih Kang / Foto Bernama

CYBERJAYA,22 April – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem inovasi serantau menerusi pelancaran inisiatif Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025,dengan acara sulungnya,Persidangan Mikro MYStartup NXT 2025 yang berlangsung di sini hari ini.

Inisiatif tersebut diterajui Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya,Cradle Fund sebagai usaha memperkasa ekosistem syarikat pemula niaga (startup) serantau serta menjadikan ASEAN sebagai hab inovasi bertaraf global.

Menteri MOSTI,Chang Lih Kang berkata Malaysia komited menyediakan asas kukuh bagi memperkasa usahawan teknologi,menghubungkan ekosistem dan memperkukuh daya tahan ekonomi serantau melalui inovasi.

“Tahun Startup ASEAN diterajui oleh Malaysia namun melibatkan pelbagai cabaran serantau,program pembangunan kapasiti dan sidang kemuncak – semuanya bertujuan memperkukuh keseluruhan ekosistem startup. Komitmen bersama ini antara negara serantau mencerminkan keazaman untuk memajukan inovasi di peringkat ASEAN.

“Sebagai contoh,sebanyak 4,430 startup telah berdaftar menerusi portal MYStartup Single Window yang diwujudkan bagi menghubungkan pengasas dengan bakat dan peluang pelaburan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Sejak pelancarannya pada Disember lalu,Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025 menjadi penghubung utama antara pengasas,pelabur dan pembuat dasar di rantau ini.

Inisiatif itu turut menyokong aspirasi negara untuk disenaraikan sebagai antara 20 ekosistem pemula niaga terbaik dunia menjelang 2030.

Tambah Lih Kang,antara pencapaian penting yang bakal direalisasikan termasuk pelancaran platform Pemula Niaga ASEAN (www.startup-asean.org) serta penganjuran Sidang Kemuncak Pemula Niaga ASEAN yang pertama.

Dalam pada itu,Laporan Tahunan MYStartup 2023/2024 yang turut dilancarkan hari ini menunjukkan pertumbuhan positif ekosistem startup negara,dengan lebih 4,300 syarikat berdaftar,menyokong 17,000 individu dan berjaya menarik pelaburan melebihi RM100 juta.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.