Parlimen Belia dijangka bermula tahun hadapan, pemilihan November ini

2025-04-23 IDOPRESS

Tan Sri Johari Abdul (TENGAH) bercakap pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan YDP Dewan Rakyat bertajuk “Dari Sarawak ke ASEAN: Mengangkat Aspirasi Belia dalam Arena Serantau” di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),hari ini

KOTA SAMARAHAN,22 April- Pelaksanaan Parlimen Belia Malaysia dijangka bermula seawal Januari atau Februari tahun hadapan,dengan proses pemilihan bakal diadakan pada November 2025,kata Yang Dipertua Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan YDP Dewan Rakyat bertajuk “Dari Sarawak ke ASEAN: Mengangkat Aspirasi Belia dalam Arena Serantau” di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),hari ini.

Menurut Tan Sri Johari,format pemilihan bagi Parlimen Belia masih di peringkat perbincangan bersama pelbagai pihak,namun Jemaah Menteri telah memberi lampu hijau bagi inisiatif ini diteruskan.

Parlimen Belia akan memberi ruang kepada golongan muda berusia antara 18 hingga 35 tahun untuk menyertai proses demokrasi dan politik secara lebih aktif.

“Kita sedang usahakan agar setiap universiti dapat menubuhkan parti mereka sendiri atau bergabung beberapa universiti,contohnya di Sarawak untuk membentuk satu parti. Ini akan memberi peluang kepada belia melibatkan diri secara langsung dalam proses pilihan raya dan perbahasan di Parlimen,” jelas beliau.

Tan Sri Johari turut menegaskan bahawa Parlimen Belia ini bukan sekadar program simbolik,sebaliknya bertujuan melahirkan generasi pemimpin muda yang berfikiran kritikal,progresif dan dinamik,serta bersedia membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi.

“Inisiatif ini tidak terhad kepada pelajar universiti sahaja,malah terbuka kepada semua belia di negara ini yang berumur antara 18 hingga 35 tahun untuk menonjolkan kepimpinan dan idea mereka di pentas parlimen,” tambahnya.

Pelaksanaan Parlimen Belia dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh budaya demokrasi dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda,serta menjadikan mereka lebih bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan negara.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.