2025-06-19
HaiPress
Ketua Polis Perak,Datuk Noor Hisam Nordin / Foto RTM
IPOH,19 Jun- Polis masih menunggu laporan perubatan seorang guru yang membuat hantaran jelik di media sosial berhubung kemalangan melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) minggu lalu.
Ketua Polis Perak,Datuk Noor Hisam Nordin berkata,pihaknya telah merakam percakapan suspek dan merampas telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.
Jelas beliau,kertas siasatan kes hampir siap dan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan.
"Sebaik sahaja kita menerima laporan daripada pakar perubatan kita akan majukan kertas siasatan lengkap ke DPP (Timbalan pendakwa raya),kemungkinan melibatkan psikiatri,itu kepakaran mereka,kemungkinan melibatkan tingkah laku psikiatri,sebab itu suspek bertindak seperti itu," katanya.
Dalam perkembangan sama,beliau memaklumkan seramai enam mangsa masih menerima rawatan di tiga buah hospital berbeza iaitu di Ipoh,Kuala Terengganu,dan Baling,Kedah.
Beliau ditemui pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di sini,pagi tadi.
Dalam majlis tersebut DCP Mohammad Azlin Sadari dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu berkuat kuasa 23 Jun ini bagi menggantikan DCP Zulkafli Saariat yang bersara wajib.