2025-06-19
HaiPress
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang
SHAH ALAM,19 Jun - Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (RAKAN) dilancarkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan secara digital berkaitan isu-isu perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata,platform tersebut dapat membudayakan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat terhadap isu-isu yang boleh menggugat perpaduan.
Ia selain memperkukuh pengurusan maklumat dan maklum balas terhadap aduan komuniti.
"Sistem yang dikenali sebagai RAKAN kini dibuka kepada orang awam. Masyarakat boleh menggunakan sistem ini dengan mendaftar melalui laman web dan kami juga dalam proses membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan lagi akses dan penyampaian aduan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Townhall keselamatan dan Perpaduan Tahun 2025,di sini.
Pelancaran aplikasi itu dilihat sebagai langkah proaktif memperluas jaringan keselamatan negara melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM),Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta entiti komuniti seperti Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bawah Kementerian Perpaduan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengawal selia isu aduan palsu demi memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan aplikasi tersebut.