KDN pertimbang cadangan pembinaan tembok di sempadan

2025-06-20 HaiPress

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan aspek keselamatan sempadan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan - Foto FB AADK

KOTA BHARU,20 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti pelbagai cadangan untuk memperkukuh kawalan sempadan negara,termasuk syor pembinaan tembok di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan yang berisiko tinggi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata aspek keselamatan sempadan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan memandangkan sering menjadi laluan penyeludupan termasuk dadah serta berpotensi mengundang ancaman keselamatan lain jika tidak dikawal dengan rapi.

“Kita beri keutamaan penuh kepada kawalan sempadan. Jika sempadan tidak dikawal,bukan sahaja soal penyeludupan dadah boleh berlaku,malah insiden lebih serius juga boleh tercetus,” katanya dalam sidang media selepas Program Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini malam tadi.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah hadir Program AADK dan PEMADAM - Foto FB AADK

Shamsul Anuar berkata KDN bersama agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguat kuasa sempadan lain,meneliti maklumat risikan semasa bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan tumpuan kawalan termasuk pemasangan peralatan pemantauan atau pembinaan struktur keselamatan.

“Kita ambil kira semua cadangan yang dikemukakan termasuk pembinaan tembok,pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),serta pendekatan teknologi lain. Semua ini dalam pertimbangan dan tindakan akan diambil mengikut keperluan dan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata langkah-langkah kawalan sempadan tidak hanya tertumpu di lokasi tertentu sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan seluruh negara berdasarkan tahap risiko dan ancaman.

“Yang penting bagi kita adalah memastikan sempadan negara benar-benar selamat,terkawal dan tidak mudah diceroboh,” katanya.

Sementara itu,diminta mengulas sama ada Malaysia akan memasang CCTV di sempadan negara seperti yang dilaksanakan di Thailand,Shamsul Anuar berkata semua cadangan berkaitan keselamatan sempadan sedang dalam perhatian serius kerajaan.

Pada 11 Jun lepas,Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata pembinaan tembok atau pagar kekal di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand disifatkan sebagai penyelesaian paling berkesan dalam membanteras kegiatan penyeludupan di negeri ini.

Mohd Yusoff berkata sempadan sepanjang 45 kilometer itu terlalu terbuka,sekali gus menyukarkan kawalan secara menyeluruh. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.