2025-06-20
IDOPRESS
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri majlis makan malam rasmi bersama delegasi EMERCOM ibu negara,malam tadi./Foto FB Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR,20 Jun - Hubungan antara Malaysia dan Rusia terus diperkukuh melalui kerjasama strategik dalam bidang pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan.
Ia akan direalisasikan menerusi memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Hal Ehwal Kecemasan Rusia (EMERCOM)
yang kini berada pada fasa akhir perbincangan.
Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,MoU berkenaan dijangka membuka laluan kepada kerjasama lebih tersusun melibatkan latihan,perkongsian teknologi dan penggunaan data secara bersama.
“Ini satu langkah penting memperkukuh komitmen dua hala antara Malaysia dan Rusia dalam aspek kesiapsiagaan bencana serta bantuan kemanusiaan,” katanya melalui melalui hantaran dalam laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam rasmi bersama delegasi EMERCOM diketuai oleh Kolonel Jeneral Alexander Kurenkov,di ibu negara,malam tadi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut yakin jalinan persahabatan erat NADMA dan EMERCOM menjadi asas kepada usaha yang lebih besar dalam memastikan dunia lebih selamat dan bersedia menghadapi sebarang bentuk bencana.
“Apabila dua negara duduk semeja berkongsi cerita,rasa dan harapan,di situlah bermulanya sebuah ikatan yang lebih erat dan bermakna,” katanya.