Prestasi perdagangan Malaysia tunjuk momentum positif, meningkat 2.6 peratus

2025-06-20 IDOPRESS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,20 Jun- Prestasi perdagangan Malaysia terus menunjukkan momentum positif pada Mei,dengan jumlah perdagangan negara meningkat 2.6 peratus kepada RM252.48 bilion,tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Mei.

Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan,pencapaian itu disokong pertumbuhan import yang kukuh sebanyak 6.6 peratus kepada RM125.86 bilion.

Ia sekali gus berjaya mengimbangi penyusutan kecil dalam eksport,yang merekodkan penurunan sebanyak 1.1 peratus kepada RM126.62 bilion.

"Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan peningkatan hampir RM4 bilion pada Mei 2025.

"Pencapaian ini sejajar dengan unjuran World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) yang menjangkakan jualan semikonduktor global meningkat sebanyak 11.2 peratus tahun ini," menurut kenyataan itu.

Malaysia dijangka meraih manfaat besar daripada pertumbuhan sektor tersebut,memandangkan negara merupakan antara pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Prestasi memberangsangkan itu selari dengan peningkatan kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025,yang menyaksikan kedudukan negara melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23.

Kedudukan itu seklai gus mencerminkan keyakinan pelabur semakin pulih.

"Pencapaian ini merupakan prestasi terbaik negara sejak tahun 2020 dan mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin pulih terhadap tadbir urus ekonomi dan hala tuju dasar Malaysia," tambah kenyataan itu.

Selain itu Malaysia juga berjaya mengekalkan lebihan dagangan selama 61 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,dengan lebihan bernilai RM766.3 juta pada bulan lalu.

Bagaimanapun,bagi tempoh kumulatif Januari hingga Mei 2025,lebihan dagangan dalam tempoh berkenaan susut 9.4 peratus dengan nilai RM46.94 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Mengambil kira ketidaktentuan perdagangan global,MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh daya tahan ekosistem perdagangan negara dan memastikan momentum pertumbuhan kekal berterusan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.