ASEAN, Switzerland kukuh kerjasama dialog global

2025-07-10 IDOPRESS

Menteri Luar Negeri,Datuk Seri Mohamad Hasan / Foto RTM

KUALA LUMPUR,10 Julai–ASEAN dan Switzerland disifatkan sebagai dua entiti penting dalam mempromosikan dialog global serta memperkukuh usaha ke arah keamanan dan keadilan antarabangsa.

Menteri Luar Negeri,Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,ASEAN melalui mesyuarat tahunannya berperanan sebagai platform penting yang menghimpunkan pelbagai negara,termasuk kuasa besar dunia,bagi membincangkan isu bersama dan memperkukuh kerjasama demi manfaat kolektif.

“ASEAN menghimpunkan banyak negara melalui mesyuarat tahunannya untuk berbincang isu bersama dan memupuk kerjasama.

"Ini memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat,termasuk kuasa besar,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia,Switzerland dan Sekretariat ASEAN di ibu negara,hari ini.

Dalam pada itu,beliau turut mengiktiraf peranan Switzerland sebagai penganjur utama dialog global melalui penganjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos yang membincangkan pelbagai cabaran merangkumi bidang ekonomi,sosial dan alam sekitar.

“Switzerland memainkan peranan penting sebagai tuan rumah Forum Ekonomi Dunia di Davos. Ia menyerlahkan kedudukan negara itu sebagai pemangkin utama kepada dialog global merentas pelbagai cabaran,” jelasnya.

Mengulas situasi di Gaza,Mohamad menegaskan bahawa komuniti antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan secara berterusan oleh Israel.

“Israel mesti dipertanggungjawabkan atas kekejaman yang berterusan dan pencabulan berulang terhadap pelbagai undang-undang antarabangsa di Gaza serta negara lain di rantau tersebut,” tegas beliau.

Menurutnya lagi,kegagalan sistem antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas terhadap Israel menimbulkan persoalan besar terhadap kredibiliti dan keberkesanan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak dan keadilan sejagat.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.