2025-07-11
HaiPress
S. Vijayaletchime menerima faedah skim SKSPS selepas mengalami kemalangan motosikal.Foto/RTM
BUKIT MERTAJAM,11 Julai - Mencarum tidak sampai setahun,seorang penjaja tidak menyangka layak terima faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bernilai lebih RM13,000 setelah terlibat kemalangan.
Jelas S. Vijayaletchime,40 tahun,mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan lutut dalam kemalangan bersama suaminya.
Akibat kemalangan tersebut,beliau kehilangan sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja selama tiga bulan.
"Saya hanya tahu boleh mendapat faedah tersebut daripada jawatan kuasa kediaman. Mereka memaklumkan kepada ibu dan saya telah ke pejabat Perkeso untuk mendapatkan penjelasan lanjut,'' katanya.
Menteri Sumber Manusia,Steven Sim Chee Keong dalam pada itu memaklumkan,lebih 3,000 penjaja di Bukit Mertajam yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai telah ditaja mencarum skim tersebut tahun lepas.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan cek cura serta bantuan Kit Prihatin PERKESO kepada S. Vijayaletchime di Machang Bubok,Bukit Mertajam.
Jelas beliau,faedah yang diterima Vijayaletchime dilihat dapat mengurangkan beban yang ditanggung kerana kehilangan pendapatan akibat kemalangan.
''Mereka ini bergantung kepada pendapatan harian,sekiranya penjaja tidak boleh berniaga maka mereka layak mendapat tuntutan faedah hilang keupayaan.
"Setakat ini 10 individu telah membuat dan menerima tuntutan lebih RM30,000. Oleh itu saya menyeru agar mereka yang bekerja sendiri menyertai skim perlindungan sosial ini,'' katanya.
Sehingga Mei 2025,sebanyak 69,467 Orang Bekerja Sendiri,aktif bagi caruman SKSPS dalam sektor penjaja.
Daripada jumlah tersebut,4,632 merupakan pencarum dari Pulau Pinang.