KKDW rancang buka TABIKA KEMAS khas di setiap negeri tahun depan

2025-07-15 IDOPRESS

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),Datuk Rubiah Wang/ BERNAMA

KRUBONG,15 Julai - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang untuk membuka satu Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) khas untuk kanak-kanak autistik di setiap negeri bermula tahun hadapan.

Timbalan Menteri KKDW,Datuk Rubiah Wang berkata usaha itu sebagai langkah proaktif,susulan terdapat permintaan dalam kalangan penduduk luar bandar yang mahukan akses pendidikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas tersebut.

Beliau berkata guru atau pendidik perlu menjalani latihan khas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),melibatkan teori dan secara praktikal.

“Setakat ini kita berhasrat hendak mulakan satu TABIKA khas bagi setiap negeri dahulu. Ini satu pengalaman baharu untuk KEMAS. Kalau berjaya,kita akan kembangkan ke peringkat daerah. Kita tahu potensi KEMAS,kita juga ada kekangan dari sudut peruntukan,apa yang kita hendak fokus TABIKA,yang sedia ada ini mengikut Datuk Rais tadi perlu banyak lagi TABIKA KEMAS untuk membantu memberi perkhidmatan pada masyarakat setempat",katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Projek Perintis TABIKA KEMAS Istimewa @ Kemas Hang Jebat yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput,juga Exco Kanan Perumahan,Kerajaan Tempatan,Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri,Datuk Rais Yasin di Krubong,Melaka.

Sementara itu,Datuk Rais Yasin berkata Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada tiga TABIKA KEMAS khas ini yang terletak dalam daerah Melaka Tengah,Jasin dan Alor Gajah bagi memenuhi keperluan penduduk luar bandar yang mempunyai anak isitimewa itu.


Jelasnya,peruntukan tersebut bagi menaik taraf TABIKA KEMAS sedia ada dengan alat bantu mengajar serta fasiliti lain seperti penyaman udara dan lain-lain bagi keselesaan murid.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.