2025-09-23
HaiPress
Kapal pelayaran menuju ke Gaza,meneruskan misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF)/ AFP
KUALA LUMPUR,22 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memanjatkan doa tulus daripada seluruh masyarakat bagi mengiringi misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Beliau menerusi hantaran Facebook berharap usaha tersebut akan menjadi sinar harapan buat rakyat Gaza yang sedang diuji selain menjadi saksi kepada kesatuan nurani kemanusiaan sejagat.
Misi GSF digerakkan gabungan antarabangsa termasuk Freedom Flotilla Coalition,Global Movement to Gaza,Maghreb Sumud Flotilla dan Sumud Nusantara yang menghimpunkan aktivis,doktor,ahli teologi,seniman,peguam serta pelaut dari lebih 44 negara.
Lebih 50 buah kapal menyertai misi itu dan berlepas dari beberapa pelabuhan utama Eropah dan Afrika Utara sejak akhir Ogos lalu,antaranya dari Genoa,Barcelona,Tunisia dan Catania,Itali.
Malaysia tidak ketinggalan untuk menyertai misi tersebut dengan menghantar 15 wakil melalui Sekretariat Sumud Nusantara yang disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Cinta Gaza Malaysia (CGM),Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Salam Malaysia.
Misi kemanusiaan itu bertujuan menyalurkan bantuan makanan serta perubatan ke Gaza,selain mendesak pengakhiran sekatan rejim Zionis Israel yang telah berlanjutan lebih sedekad.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediteranean dengan membawa makanan,ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini,membabitkan lebih 1,000 sukarelawan dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.