UTM catat kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus

2025-09-28 HaiPress

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU,28 September- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus pada tahun lalu,sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak bahawa kursus yang ditawarkan tidak mendapat tempat.

Naib Canselor UTM,Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata,kadar tersebut membuktikan pengajian ditawarkan memenuhi keperluan industri semasa.

Antara bidang yang mendapat permintaan tinggi adalah sains,kejuruteraan dan teknologi.

"Setiap program,satu,perlu buat kajian pasaran. Kedua,kena tengok keperluan negara. Ini keutamaan kita dalam menawarkan program-program baharu selain membuat semakan terhadap program yang sedia ada," katanya.

Prof. Dr. Mohd Shafry berkata demikian selepas merasmikan Minggu Mesra Mahasiswa 2025 di UTM Skudai.

Selain itu beliau berkata,UTM juga komited memperkasa keberkesanan pengajian melalui proses semakan kurikulum,yang dilaksanakan secara besar-besaran setiap lima tahun.

Pandangan daripada pihak industri turut menjadi rujukan penting dalam penambahbaikan program yang dijalankan secara berkala.

Seramai 3,831 pelajar baharu mendaftar pada Minggu Mesra Mahasiswa 2025.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.