2025-09-28
HaiPress
Foto RTM
KUALA LUMPUR,26 September - Perundingan AEM-Hong Kong,China (HKC) ke-9 memberi tumpuan kepada semakan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-HKC (AHKFTA) dan Perjanjian Pelaburan ASEAN-HKC (AHKIA).
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,rundingan turut merangkumi kemajuan berkaitan Protokol Pertama bagi meminda kedua-dua perjanjian tersebut.
Tambahnya,sejak pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-HKC dan Perjanjian Pelaburan ASEAN-HKC,hubungan ekonomi berkembang pesat,berteraskan komitmen bersama terhadap perdagangan yang terbuka,inklusif dan berasaskan peraturan.
"HKC terus menjadi salah satu rakan ekonomi penting ASEAN,dan pada tahun 2024,jumlah dagangan dua hala antara ASEAN dan HKC mencapai AS$132.53 bilion,menjadikan HKC rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN.
"Eksport ASEAN ke HKC bernilai AS$112.06 bilion,manakala import pula berjumlah AS$20.47 bilion. Ini mencerminkan peranan HKC sebagai hab penting bagi produk ASEAN ke pasaran global,terutamanya dalam sektor bernilai tinggi dan pengeksportan semula",katanya dalam ucapan pembukaan Perundingan AEM-HKC ke-9 di sini,hari ini.
Tambah beliau,dalam aspek pelaburan,aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari HKC ke ASEAN pada tahun yang sama mencatatkan jumlah sebanyak AS$14.30 bilion,menjadikan HKC sumber FDI ke enam terbesar di rantau ini.
Aliran masuk tersebut mengukuhkan kedudukan Hong Kong sebagai pelabur yang dipercayai dan berasaskan inovasi,dengan sumbangan yang signifikan dalam bidang perkhidmatan kewangan,logistik,pembuatan berteknologi tinggi serta industri berasaskan teknologi.
Sementara itu,Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong,Algernon Yau,berkata,ASEAN kekal sebagai rakan dagangan barangan kedua terbesar Hong Kong selama 15 tahun berturut-turut.
"Perdagangan barangan antara Hong Kong,China dan ASEAN telah meningkat sebanyak 14% tahun lalu dan terus mengekalkan momentum dengan pertumbuhan sebanyak 24% pada separuh pertama tahun 2025.
"ASEAN merupakan rakan dagang ketiga terbesar Hong Kong dalam perdagangan perkhidmatan. Kita juga merupakan rakan pelaburan utama antara satu sama lain," katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Hong Kong untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN dalam bidang perdagangan,pelaburan serta menyatakan bahawa keterangkuman dan kemampanan terus menjadi tunjang utama dalam perkongsian ini.