2025-09-30
HaiPress
Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,29 September - Seluruh rakyat Malaysia dijadual dapat menebus subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula tengah malam ini menerusi pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Anggaran penjimatan sekitar RM200 sebulan itu diyakini dapat mengurangkan beban kewangan,sekali gus menangani kos sara hidup rakyat.
Pesara,Mohd Fadzil Mohd Aziz,68 berkata subsidi kerajaan itu sangat membantu beliau yang kini seorang pesara dalam menjalani urusan harian.
"Jimat la apa pula tak jimat. Kalau saya balik kampung,isi minyak RM50 dah berapa jimat tu. Saya sebagai orang lama (warga emas) untung (jimat) la," katanya kepada pemberita di sini.
Pekerja swasta,Lim Hei Ying pula berkata ia mengurangkan beban untuk rakyat negara ini.
"Benar,kurangkan beban (kewangan) untuk rakyat. Sebab saya memandu dari Klang ke Kuala Lumpur untuk bekerja jadi kos petrol agak besar sebulan. Jadi dengan harga RM1.99 seliter dapat jimat sejumlah kos dan kos itu boleh digunakan untuk keperluan lain," katanya.
Sementara itu,menurut penjawat awam,Wan Muhammad Aiman Wan Rushdan,inisiatif itu membantu rakyat Malaysia dalam membuat perbelanjaan.
"Dapat kurangkan sedikit. Kita kena bijak dalam menguruskan duit sebab harga minyak dah turunkan. Jadi kita tidak la pening. Rakyat Malaysia kena manfaatkan subsidi kerajaan ini," katanya.
Dalam pada itu,pekerja swasta,Tan Wyoiling berkata beliau menyambut baik langkah dibuat kerajaan itu.
"Sudah pasti ia menjimatkan. Kita sangat menyambut baik usaha kerajaan nak bantu kurangkan beban kewangan rakyat dan saya harap inisiatif lain juga disalurkan untuk rakyat," katanya.
Ahli perniagaan,Kumar berkata inisiatif itu memberi penjimatan untuk rakyat Malaysia.
"Jimat,bagus inisiatif ini. Kalau dulu harga sekitar RM2.05 kan,sekarang RM1.99 seliter ok juga," katanya.