Penjawat awam diseru perkukuh ketahanan mental, amal prinsip 'zero trust'

2025-09-30 HaiPress

Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,29 September - Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil menggesa agar penjawat awam memperkukuh ketahanan mental dan mengamalkan prinsip 'zero trust' (kepercayaan sifar) dalam mendepani cabaran ledakan maklumat atau infodemik,yang semakin berleluasa di era digital masa kini.

Menurut beliau,dalam ekosistem maklumat masa kini,sebaran salah maklumat dan penipuan siber boleh memangsakan sesiapa sahaja termasuk tokoh kenegaraan,justeru budaya pengesahan maklumat perlu dijadikan amalan menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

“Jika kita bermula dengan prinsip bahawa setiap kata,tindakan dan perbuatan kita berpotensi untuk dirakam dan disalahgunakan,maka kita akan sentiasa berfikir tentang aspek keselamatan serta lebih menjaga kesihatan mental kita,” tegasnya.

Dalam ucapannya semasa merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-29 di Angkasapuri Kota Media,Datuk Fahmi turut menekankan peranan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa penjawat awam bukan hanya untuk meningkatkan kecekapan,tetapi juga membantu menepis maklumat palsu dan mengurangkan beban kerja.

Katanya,AI harus dilihat sebagai pelengkap kepada pemikiran manusia dalam membuat keputusan yang tepat dan beretika,terutamanya dalam era yang dibanjiri data dan maklumat tidak sahih.

Menyentuh aspek kesejahteraan psikologi dalam organisasi,beliau turut mendedahkan data hasil saringan 'Profiling Digital Kesihatan Psikologi (MyPsyD)' yang dijalankan ke atas 1.17 juta penjawat awam dengan lima peratus dikenal pasti berada pada tahap risiko tinggi,manakala 35 peratus lagi berada pada tahap risiko sederhana berkaitan kesihatan mental.

"Ini angka yang menginsafkan. Ia memerlukan kesedaran dalam kalangan kepimpinan untuk lebih peka,menyediakan ruang kerja yang munasabah dan menggalakkan sokongan dalam kalangan pasukan," katanya.

Dalam pada itu,beliau turut mengingatkan penjawat awam agar berdisiplin ketika menggunakan media sosial,bagi mengelakkan berlakunya kebocoran maklumat atau tindakan yang boleh menjejaskan integriti perkhidmatan awam.

Turut hadir pada persidangan tersebut ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,Ketua-ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua Pengarah Penyiaran,Datuk Suhaimi Sulaiman.

Persidangan yang bertemakan "AI dan Pesona Diri: Kemandirian di Era Infodemik" itu menumpukan kepada peranan AI sebagai pemangkin kecemerlangan penjawat awam,di samping memperkukuh daya tahan psikologi dalam mendepani cabaran digital masa kini.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.