Yang di-Pertuan Agong berangkat sempurnakan istiadat Pertukaran Panji-Panji Agong 2025

2025-10-23 HaiPress

Foto RTM

SUNGAI BESI,23 Oktober -Yang di-Pertuan Agong,Sultan Ibrahim berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pertukaran Panji-Panji Agong Tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat,Kem Perdana Sungai Besi.

Istiadat pada hari ini melibatkan empat detasmen dengan kekuatan keseluruhan 34 pegawai dan 430 anggota; diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejiman Askar Melayu Diraja (RAMD),Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali ; Pegawai Memerintah Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD),Leftenan Kolonel Ahmad Faisal Muda dan Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara,Kolonel Azri Amad TUDM.

Tiga panji-panji yang terlibat mewakili RAMD,KAD dan TUDM.

Istiadat penuh adat ketenteraan itu dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila terdapat keperluan penggantian Panji-Panji baharu bagi menggantikan yang lama dan lusuh.

Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Agong disempurnakan mengikut tatacara ketenteraan yang penuh istiadat,dimulai dengan Hormat Diraja,diikuti perarakan keluar Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong lama,serta Pentauliahan dan Penganugerahan Panji-Panji baharu.

Lafaz ikrar turut dilaksanakan oleh warga perbarisan sebelum Panji-Panji baharu dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda.

Seterusnya,panji-panji tersebut diarak dan diperkenalkan kepada warga pasukan sebagai tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mengenali dan menyemat rasa kebanggaan terhadap panji-panji mereka.

Istiadat pada pagi ini juga merupakan acara julung kali diadakan sejak Seri Paduka Baginda Tuanku Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Pemerintah Ulung Negara.

Istiadat pertukaran ini menjadi simbolik penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga ATM sertamencerminkan ATM sebagai institusi yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedua Rukun Negara,iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Turut hadir dalam Istiadat pagi ini ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan,Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Angkatan Tentera,Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar,Panglima Tentera Darat,Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut,Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain,Panglima Tentera Udara,Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM dan Pegawai-Pegawai Kanan ATM.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.