2025-11-21
HaiPress

Foto RTM
KUALA LUMPUR,21 November - Malaysia perlu memastikan rakyatnya boleh beradaptasi dengan perubahan dan impak susulan cuaca ekstrem.
Ahli Tetap Institut Sains Laut dan Bumi (IOES) Universiti Malaya,Profesor Emeritus Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata ini bagi membolehkan mereka beradaptasi dengan lebih cepat termasuk mengubah cara hidup seterusnya berdaya tahan terhadap perubahan tersebut.
Selain itu kata beliau,daya tahan pemain industri yang berdepan impak bencana juga penting dalam memastikan kelangsungan perusahaan.
"Isu ketahanan ini merujuk kepada bagaimana kita bersedia menghadapi cuaca yang tidak menentu dan perubahan yang berlaku.
"Sebagai contoh,kita mengambil teladan dan mempelajari banyak perkara melalui Bah Kuning 2014 dan banjir pada 2021 di Selangor," jelasnya kepada RTM.
Hasilnya,Malaysia kini memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana termasuk penggunaan sistem amaran awal bencana,pemodelan daripada teknologi kecerdasan buatan dan pemetaan hotspot bencana.
Pendekatan itu diperlukan bagi mengurangkan impak bencana dan memastikan aset dan infrastruktur dilindungi.
"Perubahan iklim merupakan realiti yang tidak dapat dielakkan. Jadi kesiapsiagaan dan adaptasi ini merupakan langkah penting dalam menentukan kemampuan negara menghadapi cuaca yang semakin tidak menentu," ujarnya.