2025-12-11
HaiPress

Pelaksanaan sistem berkenaan menampung lonjakan besar kemasukan pengembara ke Johor / Foto RTM
JOHOR BAHRU,11 Disember - Projek pembangunan perkhidmatan komuter di Johor khusus bagi laluan Kulai-Johor Bahru,sedang dirangka Kementerian Pengangkutan dan dirancang diperkenal pada suku pertama tahun depan.
Menterinya,Anthony Loke memaklumkan pelaksanaan sistem berkenaan,dijangka didahului sebelum projek RTS Link,bagi menampung lonjakan besar kemasukan pengembara ke Johor.
"Kementerian sedang merangka dan sementara menunggu set tren baharu,kita akan mengoptimumkan gerabak sedia ada.
"Koc yang digunakan antara Gemas dan Johor Bahru disusun semula untuk laluan Kulai-Johor Bahru,"katanya dalam sidang media Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Kempas Baru.
Dalam perkembangan lain,beliau turut memaklumkan kelulusan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor masih dibincangkan dan perincian pelaksanaannya bakal dimuktamad dalam tempoh terdekat.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut.
“Masih ada perincian yang belum dimuktamadkan,kita akan muktamad dalam kadar segera dan terdekat. Saya yakin akan ada keputusan tidak lama lagi,” katanya.
Kerajaan Johor sebelum ini memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan ART selewat-lewatnya awal tahun depan.
BERITA BERKAITAN
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB pencapaian besar negara- Anthony
Tunku Mahkota Ismail melancarkan pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru