2026-06-09
HaiPress

Perdana Menteri Singapura,Lawrence Wong bersama isterinya,Loo Tze Lui,bergambar dengan Presiden Filipina,Ferdinand Marcos Jr.,dan isterinya,Liza Araneta Marcos,semasa majlis sambutan bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu,Filipina Tengah,pada Isnin. Foto AFP
SINGAPURA,9 Jun – Singapura akan memberi tumpuan kepada usaha memperdalam integrasi serantau dan memperkukuh kerjasama dengan rakan luar bagi mengharungi cabaran global apabila mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2027,kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
RINGKASAN BERITA AI
−
“Kami mahu mencari jalan untuk mengukuhkan hubungan dengan pelbagai kumpulan lain,bukan hanya rakan tradisional,” katanya dalam sesi dialog anjuran Kelab Akhbar Singapura pada Isnin.
Menurut Wong,ASEAN berharap dapat mempertingkatkan kerjasama dengan semua rakan kongsi utama dan menyatukan mereka di rantau ini bagi memaksimumkan peluang untuk mengekalkan kestabilan dan kemakmuran.
Beliau berkata dalam konteks Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP),blok itu tidak mahu melihat rantau berkenaan didominasi oleh mana-mana kuasa tunggal.
Sebaliknya,ASEAN percaya semua pemain utama perlu dilibatkan dan disatukan untuk mencari titik persamaan serta memajukan bidang yang mempunyai kepentingan dan kerjasama bersama.
“Kami tidak mahu melihat persaingan yang bersifat menang-kalah,atau komitmen eksklusif kepada mana-mana pihak tertentu.
“Kami juga tidak mahu melihat dunia yang terbahagi kepada beberapa lingkungan pengaruh yang saling bersaing,dengan satu lingkungan dikuasai oleh satu kuasa di Asia,satu lagi di hemisfera Barat dan satu lagi di Eropah,” katanya.
Mengenai integrasi serantau,Wong berkata ASEAN telah mencapai kemajuan memberangsangkan dalam bidang perdagangan dan pelaburan,namun masih berusaha meningkatkan kesalinghubungan yang lebih lancar antara ekonomi negara anggota.
“Terdapat kekangan dari segi peraturan,dan masih banyak ruang untuk menjadikan urusan lebih lancar.
“Kita juga boleh memperkukuh kesalinghubungan dalam bidang lain,bukan sahaja perdagangan,pelaburan atau penerbangan,malah hubungan antara rakyat,ekonomi digital,sistem pembayaran,pengangkutan dan grid tenaga,” katanya.
Wong turut menegaskan bahawa ASEAN akan menjadi lebih kukuh apabila bergerak sebagai satu blok berbanding bertindak secara berasingan sebagai pasaran kecil.
“Kita perlu bersatu supaya ASEAN menjadi sebuah komuniti yang mewakili 700 juta penduduk,mempunyai ekonomi yang besar,berpengaruh dan lebih berupaya menghadapi cabaran di sekeliling kita,” kata beliau.- BERNAMA