Tanah runtuh ragut lima nyawa ketika Taufan Bavi hampiri Taiwan

2026-07-10 HaiPress

Guni pasir disusun di luar sebuah bangunan sebagai persediaan menghadapi ketibaan Taufan Bavi di Keelung,Taiwan pada 10 Julai/  AFP

KEELUNG,10 Julai- Lima individu maut manakala enam lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh di Filipina susulan hujan lebat yang dipengaruhi Taufan Bavi,ketika taufan terbesar dalam tempoh lebih tiga dekad itu semakin menghampiri Taiwan.

RINGKASAN BERITA AI

Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA) memaklumkan taufan itu merekodkan kelajuan angin berterusan maksimum 162 kilometer sejam dengan tiupan sehingga 198 kilometer sejam.

Menurut peramal CWA,Wang Ping-hsiang,taufan itu dijangka terus melemah berikutan keadaan atmosfera yang kurang menggalakkan.

Bagaimanapun,kawasan Taipei,New Taipei,Keelung dan Yilan dijangka menerima kesan paling ketara,manakala kawasan pergunungan di tengah dan utara Taiwan diramal menerima hujan paling lebat.

Dengan radius angin kencang sejauh 380 kilometer,Bavi dijangka menjadi taufan terbesar melanda Taiwan dalam tempoh lebih 30 tahun.

Banyak sekolah dan premis perniagaan di utara serta timur Taiwan termasuk ibu negara Taipei ditutup pada Jumaat,manakala ratusan penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan.

Lebih 1,000 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka,kebanyakannya di daerah Hualien di timur Taiwan,susulan kebimbangan terhadap banjir dan tanah runtuh.

Presiden Taiwan,Lai Ching-te menggesa penduduk di kawasan berisiko supaya terus berwaspada,manakala lebih 20,000 anggota tentera bersama jentera dan peralatan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kecemasan.

Selepas melepasi utara Taiwan,Taufan Bavi dijangka melanda timur China pada hujung minggu ini.

Sebelum ini,cuaca ekstrem di selatan dan tengah China mengorbankan sekurang-kurangnya 39 nyawa selain menyebabkan puluhan sungai melimpah dan sebuah empangan pecah. -AFP

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.