Lembaga KPF perlu ada pengurusan cekap, jaga kebajikan peneroka

2024-07-14 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim

SERDANG,14 Julai - Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) perlu mempunyai pengurusan yang cekap bagi menumpukan kepada aspek kebajikan peneroka serta mengangkat martabat koperasi itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,ini bagi memastikan kebajikan komuniti peneroka terus terjaga sekaligus mengangkat martabat koperasi itu.

"Saya hendak nasihatkan lembaga KPF,pastikan pengurusannya itu pengurusan yang bukan mewakili lembaga. Pengurusan harus yang paling cekap untuk bantu mengangkat kedudukan koperasi FELDA. Ini tanggungjawab kita,tidak mahu tolak ansur. Dana peringkat awal Koperasi FELDA berapa? RM2.5 bilion,kita akan pastikan diurus dengan cekap dan dipantau oleh lembaga tanpa campur tangan soal pengurusan dana yang cekap," kata Anwar

Beliau berkata koperasi ialah satu badan yang sangat penting kepada negara,tetapi kelemahannya kadangkala berpunca daripada pemilihan pihak pengurusan yang tidak berkemahiran.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptama bersempena Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan warga peneroka Felda.

Anwar berkata amalan tadbir urus yang cekap dan baik sangat ditekankan oleh kerajaan masa kini,termasuk dalam soal perolehan tender supaya tiada penyelewengan atau salah guna kuasa berlaku.

Selain itu,beliau berkata kerajaan akan memastikan sistem perubahan dan penghijrahan dengan cara,pemikiran serta amalan yang betul,bukan hanya pada slogan tetapi juga tindakan.

"Kalau dulu,tender masing-masing nak kira menantu,nak kira isteri,nak kira kroni,tapi kalau sekarang semua tender kerajaan dan saya percaya Felda,FGV dan koperasi juga seharusnya biar betul,telus supaya jangan ada usaha menyakau wang rakyat dan wang peneroka.

“Siapa kata negara tiada wang? Ada … tetapi jangan hilang terlalu banyak,bayar hutang terlalu banyak,beban terlalu tinggi,kemudian kontrak kalau RM1 bilion,hilang RM100 juta. Sebab itu saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serbu habis-habisan,kadang-kadang badan-badan amanah kerajaan,badan-badan yang patut jaga bumiputera pun amalan menyakau masih diteruskan," kata Anwar.

Dalam pada itu,Anwar mengingatkan kepada warga peneroka tanah rancangan itu agar tidak menjadikan Felda sebagai tempat pecah belah,benci-membenci dan segala unsur perseteruan.

"Felda perlu menjadi contoh terbaik orang Islam dan bukan Islam. Kita pindah ke komuniti baharu,ummah baharu kena jadi contoh," kata Anwar.

Untuk tujuan itu,beliau mengajak warga peneroka Felda untuk menghayati semangat penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah bagi membawa perubahan dalam komuniti Felda.

"Ini baru keperibadian masyarakat Islam,bukan bangun untuk menyerang atau memaki hamun orang,tetapi bangun untuk memperbaiki diri sendiri,perbaiki masyarakat dan ummah," katanya.

Anwar turut memuji penganjuran Hari Peneroka Felda 2024 yang mengimbas latar belakang dan sejarah penubuhan Felda yang dicetuskan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein,kepada generasi muda Felda supaya ia tidak lupus ditelan zaman.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.