2024-08-18 berita.rtm.gov.my
HaiPressFoto RTM
KUALA LUMPUR,18 Ogos- 100 unit tong sisa mudah alih (MGB) bersaiz 120 liter diedarkan kepada penduduk Taman Sri Rampai,Kuala Lumpur bagi menggantikan tong-tong lama yang telah digunakan lebih daripada 10 tahun.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa,Nik Nazmi Nik Ahmad berkata program penukaran tong sampah itu diharap bakal membantu meningkatkan tahap kebersihan dan kualiti hidup penduduk setempat.
Inisiatif itu juga merupakan sebahagian usaha berterusan Alam Flora Sdn. Bhd. untuk memperbaharui dan meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal di seluruh kawasan perkhidmatannya.
"Tong yang dibekalkan ini mempunyai jangka hayat lebih lama berbanding dengan tong sebelum ini."
"Kita juga menggalakkan penduduk untuk mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula dengan meletakkan sisa boleh dikitar semula ini di tepi tong pada kutipan jadual satu kali setiap taman perumahan."
"Kita berharap dengan pengasingan ini dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan dan memastikan keadaan alam sekita kita lebih terjaga," kata Nik Nazmi kepada pemberita pada sidang media selepas program edaran tong sisa mudah alih (MGB) di ibu negara.
Tambahnya,program seumpama itu selaras visi kerajaan untuk memperbaiki pengurusan sisa pepejal.
Usaha itu antara lain akan meningkatkan keterlibatan penduduk setempat dalam menjaga kebersihan persekitaran dan memanfaatkan sebaiknya tong sisa mudah alih yang telah diedarkan.