Sijil Profesional Kewangan Islam, tingkat kemahiran pengamal kewangan

2024-08-26 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Majlis Penganugerahan Sijil Profesional Kewangan Islam di Bangi/Foto UIS

BANGI,26 Ogos- Kepentingan menyerlahkan kualiti unik kewangan Islam perlu difahami dengan jelas oleh para profesional dan dipraktikkan dalam industri perbankan dan pengamal kewangan Islam.


Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) Datuk Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah berkata,penekanan dalam kewangan Islam akan menyerlahkan kualiti unik dalam industri berkenaan.


Ia mengutamakan tiga nilai kritikal iaitu nilai tambah (value-adding),nilai asas (value based) dan nilai etika (ethics value).


"Ketiga-tiga nilai berkenaan perlu difahami dengan jelas oleh para profesional dan dipraktikkan dalam industri perbankan dan kewangan Islam," katanya dalam Majlis Penganugerahan Sijil Profesional Kewangan Islam kali ke-4 di sini.


Sementara itu,Pengarah Eksekutif Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam di Malaysia (AIBIM) Ratna Sha’erah Kamaludin berkata,dengan pengiktirafan dan pensijilan profesional itu ia dilihat akan meningkatkan kemahiran pengamal kewangan Islam.


"Dua kursus pendek iaitu Sijil Syariah untuk Perbankan dan Kewangan (CSBF) dan Sijil Ekonomi Syariah untuk Perbankan dan Kewangan (CSEBF),Pusat Penyelidikan Antarabangsa Kewangan dan Perbankan Islam (IRCIEF) UIS dilihat dalam landasan tepat untuk meningkatkan modal insan negara dalam sektor kewangan Islam.


"Ia seiring aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerapkan prinsip ekonomi Islam dalam operasi kewangan Islam," katanya dalam majlis sama.


Bagi penerima Anugerah Peserta Terbaik bagi CSEBF yang juga merupakan Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat,Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. Wan A’tirah binti Mahyudin,33 tahun,mendalami ilmu dalam bidang yang sama tidak pernah merugikan malah menyeronokkan.


"Salah satu kekuatan dalam Kursus Professional Kewangan Islam ini ialah aspek ilmu syariah. Perbincangan mendalam berhubung syariah asas sangat baik dan melengkapkan keperluan ilmu perbankan dan kewangan Islam yang lain.


"Malah saya rasa walaupun telah berada dalam industri sebelum ini,dan sekarang mengajar dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam,saya dapat mendalami lagi pengetahuan dan memahami senario semasa berkaitan aspek syariah dengan lebih teliti," katanya.


Manakala mahasiswa Universiti Islam Madinah dalam pengajian Syariah yang juga penerima CSBF; Ukail Ahmad Sanif,turut memanfaatkan pengajian sijil profesional ditawarkan IRCIEF-UIS.


"Kursus professional yang mendalami sistem kewangan yang patuh Syariah sangat bermanfaat apatah lagi ia turut membincangkan aplikasi Syariah dalam produk perbankan Islam seperti sukuk dan bay’ bithaman ajil.


"Selain itu ia selari dengan konsep kemampanan alam sekitar,sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.


Dalam pada itu,selain meraikan pencapaian para profesional,majlis berkenaan juga menekankan komitmen berterusan untuk memajukan pendidikan dan amalan kewangan Islam oleh IRCIEF-UIS.


Sejak ditawarkan pada tahun 2019,kini IRCIEF-UIS telah menyediakan khidmat profesional kepada seramai 182 orang graduan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.