Sultan Ibrahim berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran

2024-09-07 berita.rtm.gov.my

HaiPress

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran,Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 di Istana Negara,hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,7 September- Yang di-Pertuan Agong,Sultan Ibrahim hari ini berkenan menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran,Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 di Istana Negara.

Ia merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran pertama yang disempurnakan Seri Paduka Baginda setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai lepas.

Turut berangkat ke istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri dan isteri kemudiannya mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ke Peterana Diraja bagi menerima Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Dataran Istana Negara.

Sultan Ibrahim kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan selesai pemeriksaan,Seri Paduka sekali lagi menerima Hormat Diraja dan lagu Negaraku berkumandang.

Seri Paduka berdua kemudiannya diiringi perdana menteri dan isteri,berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Sri Maharaja bagi meneruskan atur cara Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran,Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri.

Sebanyak 116 individu menerima Darjah Kebesaran,Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi dalam istiadat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen negara.

"Setiap pencalonan yang dibawa oleh kerajaan akan saya teliti satu persatu. Pertimbangan dibuat kepada calon yang betul- betul layak,yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan dan masyarakat dan negara.

"Justeru itu saya telah bersetuju untuk mengurniakan darjah kebesaran bintang dan pingat Persekutuan kepada 116 penerima sahaja. Pesanan saya kepada semua penerima sentiasa jujur dan amanah kepada pemerintah,jaga tingkah laku,jangan terlibat dengan rasuah atau kesalahan jenayah," titah baginda.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari tahun ini.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.